Langgar arahan punca imam tak disambung khidmat

Iklan
Laporan Sinar Harian edisi utara pada 10 April lalu. (Gambar kecil: Dr Ismail Salleh)

ALOR SETAR - Khidmat Imam Masjid Ar Rahman Pekan Sik, Ahmad Hussain yang tidak disambung pada 1 April lalu melalui surat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah Darul Aman (JHEAIK) disebabkan melanggar arahan selain mempunyai unsur politik di masjid.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Sultan Kedah, Tuanku Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebagai penaung agama Islam di negeri ini sudah berpesan banyak kali bahawa rumah ALLAH SWT digunakan untuk beribadah dan bukan digunakan untuk tujuan politik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara yang sama turut diulangi oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

"Bagaimana imam tersebut tidak tahu tentang jemputan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang hadir sebagai penceramah yang menyampaikan kuliah maghrib diselitkan dengan info politik berkaitan parti berkenaan.

Iklan

"Ikut undang-undang, imam yang mahu bawa penceramah dari luar perlu mendapat kebenaran bertulis dari Pegawai Agama Daerah Sik, tetapi tidak dibuat. Pegawai agama ada menegur dan meminta kuliah dipindahkan ke tempat lain dan bukan di masjid namun mereka tetap meneruskan di masjid berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dr Ismail berkata, pihaknya mempunyai bukti rakaman kuliah itu dan antara isu politik yang disentuh oleh Tuan Ibrahim dalam tempoh setengah jam itu adalah isu RM90 juta dan saman.

Iklan

Jelasnya, Ahmad perlu bertanggungjawab kepada beberapa kesalahan yang telah dilakukan itu selepas melanggar arahan yang telah dititahkan oleh Sultan Kedah sebelum ini.

"Pihak pentadbir dan pegawai agama daerah telah membuat laporan kepada JHEAIK dan melaksanakan apa yang telah dititahkan oleh Tuanku Sultan Kedah. Imam itu sebenarnya yang telah ingkar kepada arahan,"katanya.

Pada waktu yang sama, Dr Ismail mengakui bahawa berdasarkan Seksyen 65(2) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008, had umur seorang imam dibenarkan sehingga 60 tahun sahaja namun jika tidak mempunyai apa-apa masalah maka khidmatnya boleh diteruskan.

"Jika seseorang imam itu masih sihat, rekodnya bagus memang boleh diteruskan khidmatnya. Tetapi dalam kes ini imam tersebut telah ingkar. Masjid ini bukan gelanggang politik, ini adalah rumah ALLAH SWT, siapa-siapa yang pergi adalah untuk beribadat," katanya lagi.

Semalam Sinar Harian melaporkan Pengurusan Masjid Ar Rahman Pekan Sik berharap rayuan mereka agar khidmat Ahmad, 68 yang tamat kontrak pada 1 April lalu dapat disambung semula.

Pembantu masjid tersebut, Hulaimi Abdullah, 62, berkata, majoriti ahli kariah masih mengharapkan pihak berwajib terutamanya JHEAIK dapat mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat oleh jabatan itu.

Sebelum ini, Ahmah berkata beliau mahu menuntut keadilan penuh terhadap tindakan tersebut dan mendakwa tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadapnya dipercayai ada kaitan dengan kehadiran Tuan Ibrahim di Masjid itu pada 9 Februari lalu.

Dakwanya, beliau tidak menjemput Tuan Ibrahim sebaliknya secara kebetulan pemimpin Pas itu singgah di masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan beliau menjemputnya menyampaikan sedikit tazkirah.