PRU15: Cuaca baik bantu lancar proses undi awal di Kuantan

Iklan
Cuaca baik membantu kelancaran proses pengundian awal di Dewan Badminton Kompleks PDRM Alor Akar di sini pada Selasa.

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kebanyakan pegawai dan anggota polis kontinjen Pahang yang mengundi di Parlimen Kuantan mengambil peluang keadaan cuaca baik dan tidak hujan pada sebelah pagi untuk hadir lebih awal ke pusat pengundian di Dewan Badminton Kompleks Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar di sini pada Selasa.

Seramai 1,560 pengundi awal mengundi di pusat itu termasuk Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Iklan
Iklan

Ramli berkata, proses pengundian di pusat itu berjalan lancar apabila sebahagian besar anak buahnya tiba dan beratur lebih awal untuk mengundi.

"Saya jangkakan semua akan menunaikan tanggungjawab ini dan proses pengundian berjalan lancar hingga petang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai membuang undi di pusat itu jam 8.30 pagi.

Ramli menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di di Dewan Badminton Kompleks PDRM Alor Akar di sini pada Selasa.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuantan, Datuk Hamdan Hussin turut berada di pusat pengundi itu bagi mengikuti proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

Selain itu antara calon yang hadir termasuk calon Parlimen Kuantan dari Pakatan Harapan (PH), Fuziah Salleh dan Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar (BN).

Turut kelihatan, Rosli Abdul Jabar (calon Perikatan Nasional DUN Tanjung Lumpur), Sim Chong Siang (PH-DUN Teruntum), Tee Choon Ser (BN-DUN Teruntum) dan Datuk Randy Yap Kim Heng (PN-DUN Teruntum).

Seramai 21,164 pengundi awal dalam kalangan warga polis dan tentera akan mengundi pada hari pengundian awal PRU15 di 50 pusat mengundi melibatkan 70 saluran yang dibuka di negeri ini pada Selasa.

Daripada jumlah pengundi yang diwartakan itu, 6,137 pengundi terdiri pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Pahang serta 15,024 warga tentera.

Sementara itu, Ramli berkata, setakat ini, proses kempen PRU15 di Pahang berjalan dengan baik apabila calon dan wakil serta penyokong mematuhi tatacara dan peraturan berkempen.

Menurutnya, semua pihak telah menunjukkan kematangan berpolitik dan tidak dipengaruhi faktor emosi ketika berkempen yang boleh mencetuskan ketegangan, pergaduhan dan sebagainya.

"Dalam tempoh kempen sehingga Isnin, sebanyak 2,007 permit telah diluluskan dan 1,494 ceramah politik telah diadakan di negeri ini dalam tempoh itu.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 270 laporan polis berkait kesalahan berkempen diterima bagaimanapun hanya 15 kertas siasatan dibuka setakat ini atas pelbagai kesalahan termasuk khianat dan merosakkan bahan kempen," katanya.

Sementara itu, peratusan proses pengundian awal membabitkan anggota keselamatan PRU15 bagi Parlimen Indera Mahkota dianggarkan lebih 30 peratus setakat jam 10 pagi.

Ketua Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, proses pengundian berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama sepenuhnya dalam kalangan pengundi.

"Setakat jam 10 pagi ini, lebih 30 peratus sudah keluar mengundi. Namun, saya jangkakan menjelang 3 petang ini, 90 peratus keluar mengundi di pusat pengundian awal di sekitar daerah ini.

"Jumlah pengundi di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Galing, seramai 1,096 manakala 1,006 pula adalah pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membuang undi di kem TLDM Tanjung Gelang," katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan di pusat pengundian awal di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing di sini pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di Markas Briged Tenggara, PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Galing di sini mendapati pegawai dan anggota PGA serta pasangan mereka mula beratur seawal jam 7 pagi bagi menunaikan tanggungjawab.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Datuk Hassan Basri Ahmad Safar adalah antara individu terawal melakukan proses pengundian awal itu.

Penyandang Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan calon BN, Datuk Quek Tai Seong turut berada di pekarangan dewan bagi meninjau proses pengundian.

Parlimen Indera Mahkota menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan Saifuddin yang juga Pengerusi PN Pahang akan dicabar calon Barisan Nasional (BN), Quek Tai Seon, Zuraifi Ismail (Pakatan Harapan) dan Dr Mohamad Nor Sundari (GTA-Pejuang).