SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Biarpun dengan bantuan kerusi roda, seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya dekat sini, tidak patah semangat dan melepaskan peluang menunaikan haknya untuk mengundi.
Mohd Said Chatar, 59, berkata, kerusi roda itu digunakan bagi memudahkan pergerakannya untuk membuang undi di Pusat Pengundian Awal Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.
Dia mengidap penyakit buah pinggang dan masih dalam tempoh rawatan sekali gus membataskan pergerakannya malah memerlukan bantuan untuk berjalan dalam jarak yang jauh.
"Sepanjang menyertai PDRM selama 36 tahun ini saya tidak pernah 'miss' untuk mengundi walaupun ketika tidak sihat tetapi mungkin ini yang terakhir kerana tahun depan sudah bersara," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuang undi di Pusat Pengundian Awal Kompleks SMS PDRM (Pusat Bekalan Polis), Jalan Subang Lama U2 Shah Alam di sini pada Selasa.
Seramai kira-kira 16, 000 pegawai dan anggota PDRM di Selangor yang berdaftar sebagai pengundi awal dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunaikan tanggungjawab mereka pada Selasa.
Proses pengundian itu turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang tiba di Pusat Pengundian Awal Kompleks SMS PDRM (Pusat Bekalan Polis) pada jam 8 pagi.
Tetap mengundi walau berkerusi roda
Sementara itu di Georgetown, Pulau Pinang, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal sanggup ke Pusat Mengundi Awal di Dewan Mutiara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk menunaikan tanggungjawabnya.
Walaupun berkerusi roda, Mohamad Shafiq Hassan, 36, yang dibantu isteri yang juga anggota polis, Koperal Intan Sofia Samsudin, 35, tiba di IPK Pulau Pinang pada jam 10.45 pagi untuk membuang undi.
Mohamad Shafiq adalah salah seorang daripada 6,051 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dalam PRU15.
Menurut Shafiq, dia mengalami patah tulang selangka dan tulang belikat serta beberapa kecederaan lain di badan selepas terlibat kemalangan pada 5 November lalu.
Katanya, setakat ini, dia diberi cuti sakit selama sebulan untuk berehat daripada bertugas di Bahagian Pentadbiran IPK Pulau Pinang.
"Ini adalah kewajipan saya sebagai rakyat Malaysia. Ini adalah kali ketiga saya mengundi dan kali ini, bagi saya lain sikit kerana kena datang dengan kerusi roda. Selagi mampu dan boleh datang, saya datang juga walaupun perlu memakai anduh di tangan kiri.
"Ini kerana, undi kita yang akan menentukan siapa bakal pemimpin kelak. Bagi saya, setiap undi itu penting," katanya ketika ditemui di Dewan Mutiara IPK Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Menurut Intan, suaminya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang daripada menikmati sarapan di Bayan Baru.
"Ketika itu, suami saya bukan dalam tugas. Dia pergi sarapan, dalam perjalanan nak balik rumah di Perumahan Polis Bayan Baru. Dia yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dilanggar sebuah kereta ketika berada di jalan lurus.
"Dia kini hanya berehat di rumah dan akan menjalani pemeriksaan secara berkala sebelum dibenarkan bekerja," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sepanjang tempoh berkempen sehingga Selasa, polis menerima 30 laporan dan 12 kertas siasatan serta satu kertas enkuiri polis (KEP) dibuka untuk pelbagai kesalahan.
Menurutnya, tiga kes telah dituduh di mahkamah iaitu satu akan menjalani perbicaraan pada 11 Januari tahun depan, satu mengaku bersalah dan didenda RM2,000 sementara kes terakhir, akan bicara pada 12 Disember ini.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 33 saluran di 28 pusat mengundi awal di seluruh Pulau Pinang dibuka pada Selasa.
"Pada hari ini, seramai 187 pegawai dan anggota telah digerakkan untuk penugasan bagi selaraskan proses pengundian awal.
"Bagi pengundian awal yang dijalankan pada 10 November lalu, seramai 179 pegawai kanan, pegawai rendah dan kakitangan awam telah melaksanakan tangungjawab mereka untuk undi pos," katanya.
Sebelum itu, Mohd Shuhaily yang tiba di Dewan Mutiara IPK Pulau Pinang pada jam 9.40 pagi turut dilihat beratur bersama anggota dan pegawainya hampir sejam untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
Turut kelihatan, calon Pakatan Harapan ( PH) bagi Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying dan calon Barisan Nasional (BN), Tan Kim Nee.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, sepanjang 10 hari tempoh kempen, Polis Pulau Pinang telah mengeluarkan 986 permit dan 360 acara telah dijalankan setakat ini.
"Mungkin dalam minggu-minggu akhir kempen nanti kita akan menerima lebih banyak permohonan permit," katanya.
Mengulas mengenai persiapan bencana banjir, Mohd Shuhaily berkata, pihak sentiasa dalam keadaan bersiap sedia sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi nanti.
"Dalam menyelaraskan pilihan raya ini, kita bersedia sekiranya Pulau Pinang dilanda banjir dalam masa terdekat, saya doakan ia tidak berlaku dan kita dapat melayari PRU15 ini dengan lancar selain tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.