KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 118,815 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasangan di seluruh negara melaksanakan tanggungjawab mengundi awal dan pos dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia melibatkan seramai 113,625 orang pengundi awal manakala undi pos seramai 5,190 orang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, di Bukit Aman sahaja, seramai 6,423 pengundi awal manakala 1,511 adalah undi pos.
"Di seluruh negara, 118,000 warga PDRM terbabit dalam mengundi awal pada hari ini melibatkan 661 tempat mengundi dan 970 saluran.
"Pemantauan mendapati suasana undi awal ini berlangsung dalam keadaan teratur," katanya ketika ditemui pemberita selepas undi awal di Bukit Aman di sini pada Selasa.
Beliau berkata, maklum balas pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan proses pengundian tahun ini antara paling sistematik dan berjalan lancar.
Katanya, PDRM juga berharap proses undi awal ini dapat diselesaikan mengikut masa ditetapkan.
Acryl Sani diiringi pegawainya sebelum itu hadir kira-kira jam 10.10 pagi bagi pengundian awal.
Turut kelihatan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pengarah Pengurusan, Datuk Zaini Jass.
Pulang mengundi, orang ramai diingat patuhi lalu lintas
Sementara itu, orang ramai yang dijangka pulang lebih awal ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) Sabtu ini diingatkan untuk berhemah dan patuhi lalu lintas bagi mengelak risiko kemalangan.
Acryl Sani berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sudah membuat persediaan mengatur tugasan di seluruh negara.
Katanya, pihak polis tidak ada masalah dalam mengendalikan situasi trafik yang tinggi kerana berpengalaman kendalikan ketika musim perayaan.
"Untuk pilihan raya kali ini, ia tiada beza. Cuma saya mohon pengguna jalan raya serta pengundi atur perjalanan masing-masing dan mematuhi peraturan lalu lintas.
"Ia demi mengurangkan jumlah kemalangan dan kesesakan ekoran pemanduan yang tidak berhemah dan seumpamanya,” katanya.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi PRU15.
Mengulas mengenai insiden khianat bahan kempen, Acryl Sani berkata, perbuatan itu ada dilaporkan berlaku pada pilihan raya kali ini, namun jumlah kes direkodkan lebih kecil berbanding sebelum ini.
Jelasnya, polis akan menyiasat setiap laporan yang diterima.
"Siasatan akan dijalankan dengan telus dan adil tidak kira daripada mana parti," tegasnya.