61 mangsa banjir di PPS dua daerah di Kedah

Iklan
Antara mangsa yang terjejas di Daerah Kulim akibat banjir kilat.

KULIM - Seramai 61 mangsa banjir dari 18 keluarga di Kedah masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Daerah Baling dan Kulim sehingga jam 8.30 pagi Selasa.

Bagaimanapun, PPS Masjid Al Insan Kampung Changkat Setol di Kubang Pasu yang dibuka pada jam 11 malam Isnin, ditutup sepenuhnya pada jam 8 pagi.

Iklan
Iklan

Maklumat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, dua PPS termasuk di Surau Ittifaqiah, Baling yang dibuka pada jam 7.30 malam Isnin masih menempatkan 19 mangsa dari tujuh keluarga.

Manakala, Masjid Sungai Seluang, Kulim yang dibuka pada jam 9 malam Isnin masih menempatkan 42 mangsa dari 11 keluarga.

Iklan

Sementara itu, calon Parlimen Padang Serai, Kulim, Datuk Sivaraj Chandran (BN) yang membuat tinjauan di lokasi kejadian berkata, masalah banjir yang berlarutan sejak kira-kira 15 tahun lalu itu perlu diselesaikan.

Menurutnya, adalah satu keperluan melaksanakan projek tebatan banjir bagi memastikan masalah banjir di daerah itu dapat dikurangkan.

Iklan

"Kira-kira 10 lokasi membabitkan kawasan perumahan dan kampung telah dilanda banjir kilat dengan melibatkan kira-kira 200 orang mangsa.

"Antara lokasi terjejas termasuk di Kampung Sungai Seluang, Taman Kancil, Sungai Karangan dan Sungai Kob, Kampung Siam dan banyak kawasan lain lagi.

"Saya sendiri telah pergi ke beberapa buah lokasi banjir untuk melihat keadaan penduduk dan mereka memaklumkan terpaksa berwaspada setiap kali hujan lebat dan ada yang terpaksa berdepan dengan banjir enam kali setahun.

"Banyak kerugian harta benda yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir ini selain turut menjejaskan aktiviti harian mereka untuk pergi bekerja.

"Anak-anak juga tidak dapat ke sekolah seperti biasa," katanya.