Rumah baru 'cacat', pembeli luah rasa tak puas hati

Iklan
Penduduk Taman Lagenda di sini kecewa apabila rumah yang baru mereka miliki pada September lalu mengalami kecacatan pada struktur dinding dan lantai.

TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Penduduk Taman Lagenda di sini kecewa apabila rumah yang baru mereka miliki pada September lalu mengalami kecacatan pada struktur dinding dan lantai.

Timbalan Pengerusi Persatuan Taman Lagenda Teluk Intan, Norwati Sarkawi berkata, pihaknya akan melantik pakar profesional membuat uji kaji terhadap tanah dan menyediakan laporan lengkap kerosakan rumah yang dibeli.

Iklan
Iklan

Katanya, keadaan rumah ketika ini menyebabkan pembeli sentiasa berasa resah, risau dan khuatir.

"Majoriti pemilik adalah dalam kalangan pembeli rumah kali pertama dan golongan berpendapatan rendah.

Iklan

"Jika laporan pakar menyatakan rumah ini tidak selamat, kami akan membuat tindakan sewajarnya termasuk tuntutan termaktub di bawah undang-undang.

"Bukan menuding jari kepada sesiapa tetapi untuk menenangkan keresahan pembeli rumah fasa pertama yang terjejas," katanya ketika ditemui bersama kira-kira 30 pembeli lain di kawasan perumahan itu.

Iklan

Pemilik rumah, Thinesh Rao, 28, mengharapkan rumah idamannya dapat diduduki seawal tahun depan sempena tahun baru 2023.

"Tak pernah masuk site, kami beli masa showroom di Bandar Baru. Tapi bila tengok, banyak defect dengan cerucuk yang tak memuaskan. Memang tak puas hati dan kami rasa tak selamat," katanya.

Seorang lagi pemilik, Shukri Hussin, 43, berkata, dia ingin tahu punca keretakan yang boleh mengundang isu keselamatan penghuni.

"Kalau perlu buat kerja yang lebih untuk betulkan kerosakan dan tingkatkan tahap keselamatan. Pemaju kena buat jangan sekadar tutup keretakan," ujarnya yang merupakan pesara tentera.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang juga calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Teluk Intan berkata, akan cuba membantu penduduk.

Amir ketika mendengar isu dibangkitkan pembeli rumah.

"Defect kerosakan rumah memang akan ada. Untuk baik pulih, pemaju kena ambil tindakan yang sewajarnya dengan melantik kontraktor berwibawa dan bukan (jenis) tangkap muat.

"Kita tak boleh cakap, kita risau. Biarlah pakar yang buat penilaian," katanya.


Luahan pembeli dapat perhatian pihak pemaju

Sementara itu, wakil Lagenda Properties dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil berat tentang permasalahan yang dihadapi pembeli.

"Lagenda Properties sentiasa berpegang kepada misi kami dalam menjadikan rumah bertanah menjimatkan dan mudah diakses.

"Dalam komitmen untuk menyediakan rumah mampu milik terbaik kepada komuniti, kami terikat dengan prinsip dan nilai untuk memastikan pembeli berpuas hati dengan rumah yang telah mereka beli," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai pasukan di tapak projek yang bekerja setiap hari untuk menyelesaikan sebarang masalah dihadapi oleh penduduk dari tarikh penyerahan kunci sehingga akhir tempoh liabiliti kecacatan.

Katanya, pembeli kediaman boleh berjumpa dengan pihak pengurusan secepat mungkin supaya sebarang isu berbangkit dapat diselesaikan.