RANTAU PANJANG - Lebih 700 mangsa banjir di sini menggesa pihak berkenaan untuk membuka pintu air dalam tempoh 24 jam bagi mengatasi masalah banjir termenung atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang (JKBRP), Norhisham Abdullah mendakwa hanya tindakan tersebut (membuka pintu air) sahaja dapat menyelesaikan masalah banjir termenung yang dihadapi di beberapa buah kampung seperti Tersang, Kubang Kual, Padang Licin dan sekitarnya.
"Situasi ini berlaku adalah dipercayai berpunca daripada projek fasa satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
"Pada 25 Mac lalu kami pernah membuat demonstrasi aman dan difahamkan telah ada pintu air yang dibuat oleh pihak berkenaan," katanya kepada pemberita semasa mengadakan himpunan aman di depan pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di sini pada Selasa.
Dia memberitahu, dianggarkan sebanyak enam hingga tujuh pintu air yang dibuat menggunakan pembentung di sepanjang Sungai Golok.
Ujarnya, sehingga sekarang pintu air tersebut gagal dibuka dan masih ditutup rapat sehingga mengakibatkan aliran keluar air tersekat.
Norhisham menjelaskan, kegagalan aliran air keluar itu adalah faktor utama berlakunya banjir termenung selain daripada sistem perparitan yang tidak teratur.
"Jika keadaan memaksa, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman dalam permohonan mandamus iaitu sesuatu perintah mahkamah untuk memaksa pihak terlibat melaksanakan kewajipan awam tertentu dalam isu banjir termenung ini," katanya.
Bermula musim tengkujuh pada Disember tahun lepas serta banjir besar pada Februari dan Mac lalu, isu banjir termenung telah menghantui penduduk di sekitar Rantau Panjang.
Selain menerima limpahan air Sungai Golok, penduduk juga berdepan dengan situasi banjir termenung yang agak panjang.
Terkini, banjir termenung telah berlaku sejak lapan hari lalu disekitar Kampung Tersang termasuk Padang Licin dan Kubang Kual.