SUNGAI SIPUT - Berbaki tiga hari sebelum hari pengundian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua calon BN untuk mengurangkan polemik dalam parti dan fokus kemenangan di kawasan masing-masing.
Perdana Menteri itu berkata, apa juga pandangan yang mahu diutarakan berkaitan parti, perlulah dibincangkan secara dalaman tanpa menjejaskan tumpuan dan gerak kerja untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Isu sekarang ini adalah nak hadapi pilihan raya, bukan isu dalaman parti... jadi semua calon harus fokus kepada kawasan masing-masing untuk menang.
"Kurangkan polemik sesama kita. Pentingnya bagi saya adalah bergerak ke depan untuk menang, fokus kita bekerja untuk menang, lain-lain itu kita letak tepi dulu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di sini pada Selasa.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.
Naib Presiden UMNO itu juga meminta semua pimpinan BN untuk tidak lagi mengesali kesalahan-kesalahan sesiapa yang menyebabkan kekalahan parti pada PRU14 lalu.
Katanya, perkara itu telah berlalu dan sekiranya terus dibincangkan, tidak akan mengubah apa-apa untuk kepentingan masa depan parti.
"Sekarang ini pun saya nampak hampir keseluruhan pemimpin yang digugurkan telah berhenti dari kekecewaan dan mereka bergerak bersama untuk memenangkan parti. Itu yang membanggakan saya," katanya.
Dalam pada itu, beliau merayu kepada pengundi di Parlimen Sungai Siput untuk membantu kemenangan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pada PRU15 kali ini.
Ujarnya, kemenangan presiden itu penting sebagai parti komponen terbesar dalam BN yang selama ini kekal pendirian berjuang dalam parti.
"Daripada dulu kita bersama, waktu susah waktu senang MIC bersama kita, MCA juga bersama kita.
"Waktu kita kalah orang lari. Orang dalam UMNO yang menang pun melompat macam katak. Ada parti lain bergabung bersama kita lari, tetapi MIC dan MCA kekal setia bersama UMNO dan BN.
"Jadi inilah masanya kita tunjukkan penghargaan kita terhadap pengorbanan MIC dan MCA ini," katanya.