PRU15: Pas Terengganu nafi raih undi guna wang

Iklan
Ariffin meninjau keadaan bas dua alam, Amphicoach pada Selasa.

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu menafikan berlakunya perbuatan meraih undi melalui agihan wang kepada pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagaimana tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, agihan wang memang dilakukan namun melibatkan bayaran bantuan kerajaan negeri kepada golongan pencen, belia, ibu tunggal dan mahasiswa yang layak, bukan seperti didakwa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jadual bayaran bantuan kepada rakyat sudah ditetapkan mengikut tempoh tertentu dan secara kebetulan bayaran terakhir pada November sebelum akaun ditutup berlaku semasa kempen pilihan raya umum.

"Kita masih sebuah kerajaan negeri dan semua bantuan ini disalurkan kepada pejabat ADUN dan pegawai penyelaras supaya dibuat penyerahan secara rasmi. Terpulang kepada mereka mahu guna sampul apa pun tapi wang adalah bantuan daripada kerajaan negeri.

Iklan

"Perkara ini pada saya tidak jadi isu dan kita serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk buat siasatan kerana mereka ada undang-undang," katanya kepada pemberita selepas meninjau bas dua alam, Amphicoach di sini pada Selasa.

Sebelum ini, tular di media sosial sampul duit tertera gambar ADUN dan pegawai penyelaras DUN yang berisi wang sebanyak RM150 dan RM300 bersama risalah kempen.

Iklan

Gambar tanpa penjelasan lanjut itu memberi tanggapan bahawa Pas menggunakan duit sebagai kempen murahan demi meraih undi dalam PRU kali ini.

Sementara itu, mengulas perkembangan terkini bas Amphicoach yang pernah menjadi isu hangat sebelum ini, Ariffin berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan pegawai undang-undang negeri kerana kenderaan tersebut tidak dapat diserahkan dengan sempurna berikutan tiada kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri itu berkata, ada pihak yang menyarankan supaya bas amfibia itu dijadikan tukun tiruan, tontonan di muzium negeri dan diubah suai sebagai sebuah kafe supaya tidak berlaku pembaziran.

"Kita akan nilai semua cadangan, apa yang penting tidak mahu ia terbengkalai," katanya.