Sindiket dadah bersenjata api tumpas

Iklan
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan pistol yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN

KOTA BHARU - Empat individu termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai sindiket penyeludupan dadah bersenjata api tumpas apabila ditahan polis di sebuah rumah tumpangan di Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa, pada Isnin.

Suspek utama lelaki tempatan berusia 32 tahun itu ditahan bersama isteri yang berusia 29 tahun serta dua lelaki warganegara Thailand berusia 30-an.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan pada jam 7.41 malam.

Katanya, serbuan menjumpai dadah dan sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson 38 dan 50 peluru hidup serta satu kelongsong peluru.

Iklan

"Ketika serbuan empat mereka berada di rumah itu dan pemeriksaan di sebuah bilik menjumpai 132 dadah jenis pil kuda di atas tilam manakala di sebuah lagi bilik lain menjumpai anggaran berat 35.89 gram syabu bersama 45 peluru hidup dalam sebuah beg di atas lantai.

"Pemeriksaan lanjut di bilik lain itu juga menjumpai Revolver Smith & Wesson 38, lima peluru hidup dan satu kelongsong peluru didalam almari pakaian,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan, di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau tidak menolak kemungkinan pemilikan senjata api terbabit digunakan oleh suspek-suspek untuk melindungi kegiatan penyeludupan dadah yang dilakukan oleh mereka.

"Anggaran jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM10,435, agak kecil dan dipercayai sebahagian dadah kemungkinan sudah dijual oleh suspek-suspek.

"Mereka dipercayai aktif dalam tempoh setahun ini dan sudah tiga kali melakukan urus niaga dadah serta memiliki pistol dipercayai untuk melindungi diri mereka,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, mereka ditahan reman selama enam hari berkuat kuasa pada Selasa sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan dan ujian air kencing mendapati tiga lelaki tersebut positif metamphetamin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya.