KUANTAN - Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kesal kerana calon-calon di kerusi itu tidak hadir menyertai debat yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada malam ini.
Beliau berkata, semua calon sepatutnya mengambil peluang berdebat dalam usaha menerangkan situasi dan keadaan semasa untuk dinilai masyarakat di Parlimen itu.
Menurutnya, kesempatan debat itu juga perlu diambil dalam memperjelaskan lebih terperinci mengenai manifesto calon dan parti diwakili demi pembangunan rakyat.
"Saya dijemput oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai debat ini dan saya terima undangan itu dengan hati terbuka kerana ini satu kesempatan kepada semua calon menerang manifesto sendiri atau parti yang diwakili atau sebagainya.
"Jadi, saya kesal ketiga-tiga rakan saya yang bertanding di sini memilih untuk tidak datang.
"Ia juga boleh memberi peluang apa yang dipanggil politik baharu atau politik ilmu untuk kita mencari idea yang terbaik bagi pembangunan kawasan di Indera Mahkota," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Debat calon Indera Mahkota sepatutnya berlangsung malam ini di Dewan Atabara Indera Mahkota merupakan anjuran NGO, Pertubuhan Wong Ser Warrior 294.
Tujuan debat itu diadakan bagi mengulas, membincangkan dan membahaskan senario politik semasa dan manifesto dalam kalangan calon sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain Saifuddin, debat itu pada awalnya dirancang membabitkan calon Barisan Nasional, Datuk Quek Tai Seong dan calon Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail serta calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mohamad Nor Sundari yang bertanding pada PRU15.
Namun, Tai Seong dan Zuraidi dikatakan sudah memberi maklum balas apabila mereka tidak berminat menyertai debat tersebut.
Saifuddin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menjelaskan debat juga memberi peluang kepada pengundi menilai calon-calon kerana akhirnya mereka boleh memilih wakil rakyat yang akan berdebat di Parlimen.
Tambahnya, disebabkan itu, kesempatan yang sangat mustahak digunakan semua calon menerangkan situasi semasa untuk dinilai pengundi.
Sementara itu, Saifuddin mempersoalkan kemampuan calon yang tidak berminat berdebat sedangkan kaedah itu menjadi kemestian apabila berada di Parlimen kelak.
Ujar beliau, pengalamannya sebelum ini sebagai ahli Parlimen, timbalan menteri dan menteri telah membuktikan kredibilitinya yang bukan sahaja memiliki pengalaman berdebat di peringkat nasional malah juga di luar negara.
"Saya bersedia berdebat kerana pernah melakukan sebagai ahli Parlimen, timbalan menteri dan menteri yang bukan sahaja di pentas kebangsaan tapi juga di peringkat antarabangsa kerana akhirnya ahli Parlimen mesti bersedia membawa idea bernas ke seluruh persada dan pentas bagi kebaikan rakyat,” jelas beliau lagi.