Banjir terburuk selepas tujuh tahun

Iklan
Keadaan rumah penduduk di Parit 6, Kampung Layang-Layang Kiri yang dinaiki air pada Selasa.

PARIT - Kejadian banjir yang melanda Parit 6, Kampung Layang-Layang Kiri di sini pada Selasa disifatkan sebagai terburuk yang pernah dialami penduduk dalam tempoh tujuh tahun.

Seramai 74 mangsa daripada 17 keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri di sini selepas rumah mereka terjejas banjir.

Iklan
Iklan

Penduduk, Roshaiza Said, 32, berkata, hujan berterusan sejak petang Isnin menyebabkan limpahan air dari tali air berhampiran.

Roshaiza

Menurutnya, air disedari memasuki rumah jam 3 pagi ketika ahli keluarga lain sedang tidur.

Iklan

"Hujan tidak berhenti dari petang semalam dan melihat keadaan itu, kami ada angkat barang elektrik dan dokumen penting ke tempat tinggi sebagai persediaan awal.

"Tapi tidak sangka air mula laju naik hingga paras pinggang. Saya mula dukung anak-anak ke tempat selamat hinggalah dibawa ke PPS di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di di sini.

Iklan

Bagi warga emas, Supian Khamis, 65, dia kini tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamat apa-apa barangan termasuk kad perubatan.

Menurut Supian, dia tidak menyangka air naik begitu cepat berikutan kawasan kampungnya tidak mengalami banjir sejak tujuh tahun lalu selepas dibina kunci air.

Supian

"Kalau banjir pun hanya di luar rumah dan tidak setinggi ini. Cepat sangat hingga naik ke paras peha, saya sempat ambil beg tangan yang mengandungi dokumen peribadi.

"Kain-kain, barangan elektrik dan tilam habis tenggelam. Saya dibawa keluar oleh penduduk lain dan dihantar ke PPS ini," katanya.

Tambahnya, paras air di kawasan kampungnya dimaklumkan masih lagi naik walaupun keadaan cuaca baik.

"Saya bertahan sahaja di sini walaupun anak-anak ajak tinggal di rumah mereka kerana saya risaukan keadaan rumah," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sebuah lagi PPS di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga di sini dibuka bagi menempatkan 151 mangsa.

"Jumlah itu melibatkan keseluruhan 225 mangsa daripada 44 keluarga telah dipindahkan di dua PPS berkenaan di daerah Perak Tengah," katanya.