100 permohonan PGBF lulus, hutang peneroka RM1.8 juta lupus

Iklan
Ismail Sabri (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan dokumen projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) kepada peneroka Felda Lasah, Sungai Siput.

SUNGAI SIPUT - Felda bersetuju untuk menghapus kira hutang peneroka yang menanggung kerugian akibat serangan gajah berjumlah keseluruhan RM1.8 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hutang berkenaan membabitkan 70 peneroka Felda Lasah di sini yang mengalami kemusnahan tanaman sawit disebabkan ancaman gajah liar.

Iklan
Iklan

"Ada 70 peneroka yang kebun terjejas akibat serangan gajah dan berhutang dengan Felda RM1.8 juta. Saya sudah bincang dengan Pengarah Besar dan hari ini, Felda bersetuju menghapus kira hutang sebanyak RM1.8 juta.

"Saya beritahu pengurus jangan setakat uruskan hutang, tetapi ambilah juga tindakan bagaimana mahu selesaikan serangan gajah pada masa akan datang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Iklan

Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut menyempurnakan simbolik penyerahan dokumen projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) kepada lima peneroka.

Seramai 100 generasi baharu peneroka Felda Lasah bakal menerima kediaman baharu menerusi projek PGBF itu yang dijangka siap pada Mac 2023.

Projek berkenaan telah mencapai 93.3 peratus tahap kemajuan kerja dan sedang dalam fasa menyiapkan kerja-kerja infrastruktur.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan projek itu membuktikan kerajaan BN ketika ini memberikan keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga Felda termasuk generasi-generasi baharu.

"Bantuan kerajaan kepada warga Felda tidak terhenti setakat generasi kedua sahaja, tetapi diteruskan generasi ketiga, dan seterusnya.

"Salah satu yang dilaksanakan adalah berkaitan isu pemilikan rumah yang sering dibangkitkan warga Felda dan saya amat memahami permasalahan ini kerana di Bera juga ada banyak kawasan rancangan Felda," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Lasah, Khairuddin Mohamed berkata, sebanyak 202 permohonan telah diterima daripada generasi baharu Felda untuk projek perumahan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, hanya 100 permohonan diterima selepas melalui tapisan sebanyak tiga kali oleh Jawatankusa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR).

"Kebanyakan generasi baharu ini selain menyewa, mereka juga tinggal bersama generasi pertama iaitu ibu bapa. Keadaan ini agak tidak selesa bagi mereka yang mempunyai keluarga besar.

"Jadi, dengan siapnya projek perumahan ini, dapat memenuhi impian generasi baharu ini untuk memiliki rumah sendiri sekali gus hidup dengan lebih selesa," katanya.