PRU15: Sarawak isytihar cuti umum 18 dan 19 November

Iklan
Abang Johari - Foto Bernama

SIBU - [DIKEMAS KINI] Cuti umum yang diisytiharkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 November ini dilanjutkan hingga 19 November bagi memudahkan pengundi di negeri itu menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Abang Johari mengumumkan 18 November sebagai cuti umum bagi membolehkan pengundi di negeri itu membuat persiapan bagi melaksanakan proses demokrasi sempena PRU15 pada 19 November ini.

Beliau berkata pemberian cuti itu adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beliau juga sudah berbincang dengan Ismail Sabri mengenainya semasa perasmian pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau semalam.

Iklan

"Saya beritahu (Ismail Sabri) kalau ini keputusannya maka Sarawak akan mengumumkan cuti pada 18 Nov seperti juga kerajaan pusat. Ini adalah untuk kita memberi ruang proses demokrasi berjalan dengan baik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Daerah Tanjong Manis, kira-kira 105 kilometer dari sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh serta calon Gabungan Parti Sarawak bagi Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab.

Iklan

Semalam, semasa merasmikan majlis pecah tanah Wisma CUEPACS di Putrajaya, Perdana Menteri mengumumkan 18 dan 19 November sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRU15, sejurus tiba dari Selangau, Sarawak.