PRU15: Calon PN disaran fokus manifesto, elak kontroversi

Iklan
Muhammad Zawawi
KOTA BHARU - Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disaran memberi fokus kepada penerangan manifesto parti supaya tidak timbul sebarang masalah berbangkit lain.

Setiausaha Agung Majlis Syura Pas Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, manifesto yang digariskan parti sudah lengkap, padat dan mudah difahami masyarakat.

"Kepada semua penerangan parti, gunakan pendekatan ini supaya tidak timbul sebarang masalah terutama di waktu-waktu yang agak panas ketika ini.

"Sebagai setiausaha majlis syura, saya nasihatkan supaya kita bercakap mengenai perkara yang positif sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang medianya di Pejabat Pas Negeri di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berkaitan kenyataan Pemuda Pas Sik yang tular sejak beberapa hari lalu yang mengatakan bahawa pengundi BN dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

Muhammad Zawawi bagaimanapun memberitahu isu berkenaan adalah terpencil dan tidak perlu dipanjangkan.

"Adalah tidak adil untuk mengaitkan perkara itu dengan parti kerana kita tahu Pas sebuah parti terbuka.

"Perkara yang melibatkan syurga neraka itu bukan daripada Pas. Tetapi perjuangan menegakkan agama Allah dengan membawa agenda Islam adalah perjuangan yang wajib dari segi syarak," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung kenyataan kontroversi artis Zul Huzaimy berkaitan isu perkauman dan ugutan, Muhammad Zawawi berkata ia bercanggah dengan syariat agama.

"Kita tidak boleh buat kenyataan begitu. Masyarakat majmuk ciptaan daripada Allah, jadi kita kita kena terjemahkan agenda Islam dalam tingkah laku kita. Ini saya sebut secara umum jangan keluarkan kenyataan berbentuk provokasi," katanya.

Bagaimanapun beliau memaklumkan artis atau sesiapa sahaja yang mahu menceburkan diri dalam perjuangan Islam sangat digalakkan.

"Cuma kita kena faham setiap orang kadang-kadang boleh tersasar, jadi kita jangan perbesarkan benda yang tersasar," katanya.


Iklan
Iklan


Iklan
Iklan