KOTA TINGGI – Calon BN kerusi Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin parti berkenaan akan terus mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Mohamed Khaled, perkara itu disuarakannya berikutan keyakinan ditunjukkan masyarakat di sekitar Kota Tinggi terhadap BN sejak sekian lama.
"Penduduk di sini (Kota Tinggi) yakin terhadap BN...mereka dah lama dengan BN, mereka yakin dengan BN dan mereka baru sahaja memenangkan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
"Malah, mereka turut menerima hakikat bahawa yang (calon) bertanding kali ini, bukan semata-mata calon (orang), tetapi mewakili parti.
"Lagipun, mereka (penduduk), pernah diuji bila dua wakil rakyat mereka lompat, tetapi mereka tak ikut, mereka terus kekal dengan UMNO dan seterusnya BN...dan ini membuktikan bahawa pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi parti itu perlu dipertahankan,” katanya ketika ditemui pada Program Kenduri Sekampung di Dewan Serbaguna Sedili Besar, pada Selasa.
Mengulas mengenai penerimaan masyarakat di Kota Tinggi terhadapnya, Mohamed Khaled menegaskan, beliau diterima dengan baik oleh masyarakat di situ, termasuk mendapat kerjasama yang baik daripada pihak jentera pilihan raya BN termasuk bekas wakil rakyat di situ.
Oleh itu katanya, isu ‘orang luar’ sememangnya tidak wujud di Kota Tinggi kerana bagi masyarakat setempat, apa yang penting adalah apa yang bakal dilaksanakan di situ dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Bagi saya memang tak ada masalah..bila saya dinamakan sebagai calon di situ oleh pucuk pimpinan, mereka terus menerimanya dan sebagai ahli yang sayangkan parti, mereka terus bekerja bertungkus lumus untuk menangkan calon.
"Kalau ada yang kata saya bertanding di kerusi selamat, ya, mungkin ia kerusi selamat, tetapi di Pasir Gudang juga bukannya kita tak melawan, tetapi kita juga ada strategi untuk menang di sana (Pasir Gudang),” katanya.
Sementara itu Mohamed Khaled berkata, tidak timbul isu berhubung kajian yang mengatakan UMNO Johor hanya akan menang di luar bandar kali ini berbanding di bandar yang didominasi oleh Pakatan Harapan (PH).
Katanya, pengundi sebenarnya sudah boleh menilai dan membuat pilihan berdasarkan kepada apa yang mereka lihat hari ini.
"Bagi mereka (pengundi) apa yang penting adalah pengalaman... selain mereka lihat kepada parti yang diwakili. Saya yakin pengundi akan bijak membuat pilihan nanti,” katanya.