KLANG - Penduduk di beberapa kawasan yang mengalami kenaikan aras air diminta untuk segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan pada Selasa.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, mangsa banjir yang terlibat diharap dapat memberikan kerjasama bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Kita berharap mangsa banjir dapat memberikan kerjasama, kerana kita tidak boleh menjangka paras air yang naik boleh berlaku secara mendadak.
"Segeralah berpindah ke PPS berhampiran sekiranya mendapati berlakunya peningkatan paras air yang ketara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, dua PPS telah dibuka di kawasan Sabak Bernam setakat Selasa.
"Antara PPS yang dibuka kira-kira jam 3 petang ini adalah Dewan Simpang Lima, Sungai Nibong, Sekinchan (enam mangsa) dan Dewan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam (tujuh mangsa).
"Sementara itu di Kuala Selangor masih terdapat tiga lagi PPS masih aktif iaitu PPS Sekolah Kebangsaan(SK) Sungai Sireh, Tanjung Karang (12 mangsa), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram (114 mangsa) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih (58 mangsa) yang masih dibuka," katanya.
Pada Selasa, jumlah keseluruhan mangsa banjir terlibat di negeri ini adalah seramai 197 mangsa berbanding 173 mangsa sebelum ini.