SHAH ALAM - Isu melibatkan infrastruktur pengangkutan awam perlu diatasi dengan serta-merta supaya aspek penggunaannya dapat diberi penekanan di kawasan Putrajaya.
Calon Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, pengangkutan awam di Putrajaya memainkan peranan penting kepada rakyat, namun apabila ia tidak berfungsi dengan baik, maka rakyat terpaksa menaiki kenderaan mereka sendiri.
"Dari segi infrastruktur itu, kita sudah ada. Cuma kita nak tambah baik supaya kita dapat laksanakan pengangkutan awam.
"Sekarang ini perkhidmatan bas Putrajaya, Nadi Putra pun telah diswastakan, jadi perkhidmatan mereka pun tidak beberapa menepati standard, contohnya tidak menepati masa dan sebagainya.
"Itu semua perkara-perkara yang melibatkan kelemahan pengangkutan awam dalam Putrajaya ini yang tidak efektif dan efisien. Jadi itu antara perkara yang kita bawa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ulas Mohd Rosli, isu tempat letak kereta di beberapa kawasan di Putrajaya juga antara perkara yang perlu diselesaikan bagi memastikan laluan jalan tidak menjadi sesak.
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, lalu lintas dan lampu isyarat perlu ditambah baik bagi meningkatkan kecekapan infrastruktur tersebut.
"Kita kadang-kadang apabila melancong di Putrajaya, kita menunggu di lampu isyarat itu terlalu lama. Padahal tidak ada kenderaan di jalan lain.
"Sekarang ini kita sudah ada teknologi canggih seperti Internet pelbagai benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) yang ada dalam pasaran tetapi kita tidak aplikasikan.
"Jadi itu menyebabkan masa kita berada di jalan raya itu lebih lama berbanding dengan masa yang kita perlu berada di pejabat dan sebagainya,” ujarnya.
Menurutnya, saranan tersebut dapat membantu melancarkan lalu lintas seterusnya mengelakkan berlakunya kesesakan di Putrajaya.