PRU15: 80 peratus pengundi di Shah Alam sokong PH - Azli

Iklan
Azli Yusof

SHAH ALAM - Calon Parlimen Shah Alam dari Pakatan Harapan (PH), Azli Yusof mendakwa gabungan parti berkenaan mendapat sokongan 70 sehingga 80 peratus pengundi di kawasan tersebut.

Menurut Azli, peratusan tersebut berdasarkan kempen yang dijalankan pihaknya sejak 10 hari lalu dan beliau yakin PH dapat mengekalkan kerusi Parlimen Shah Alam pada 19 November ini.

Iklan
Iklan

"Kita telah berkempen selama 10 hari, daripada kunjungan di surau, masjid, interaksi dengan anak-anak muda, juga walkabout di kedai-kedai makan, pasar malam, pasar tani dan ceramah, 70-80 peratus menunjukkan sokongan kepada PH.

"Dengan sokongan warga Shah Alam, kerja keras berterusan diiringi dengan doa dan munajat jentera PH serta paling penting pengundi keluar beramai-ramai pada hari mengundi, Insya-ALLAH kita dapat mengekalkan kerusi PH di Shah Alam pada PRU15," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Azli berkata, kemenangan PH di Parlimen Shah Alam besar ertinya kerana ia akan menyumbang satu kerusi untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Dalam pada itu, calon PH Parlimen Shah Alam itu berkata, beliau juga mendapat banyak pertanyaan daripada orang ramai berkenaan waktu mengundi ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Iklan

"Sebenarnya pengundi bebas dan digalakkan untuk mengundi seawal pagi memandangkan dijangka hujan mungkin turun di waktu petang pada hari mengundi.

"Insya-ALLAH dengan doa dan sokongan berterusan, kita ingatkan keluarga, kenalan dan rakyat Malaysia untuk keluar mengundi seramai mungkin bagi menunaikan hak sebagai seorang rakyat Malaysia," katanya.