KUANTAN - Kecemerlangan pentadbiran kerajaan negeri Pahang dalam membawa kestabilan dan kemakmuran di negeri ini selama 54 bulan lalu dijangka mampu mempengaruhi undi awal memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sekiranya sokongan pengundi awal memihak kepada BN, itu satu petanda baik kepada peluang parti itu untuk kekal menerajui Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, sebahagian besar daripada lebih 93 peratus pengundi awal di Pahang yang mengundi pada Selasa dijangka memilih BN kerana mereka tinggal dan berkhidmat di Pahang.
"Sudah pasti mereka lihat dan rasai apa yang telah kerajaan negeri laksanakan selama mereka berkhidmat di sini sebab itu saya optimis dengan arah undi mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Calon BN Parlimen Indera Mahkota, Datuk Quek Tai Seong dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, Khairul Hisham Omar di Cenderawasih di sini pada Selasa.
Wan Rosdy berkata, sambutan akar umbi yang amat baik menunjukkan kepimpinan kerajaan BN terus mendapat sokongan untuk terus berkhidmat pada penggal akan datang.
"Kalau kita (BN) tidak membantu dan jaga kebajikan rakyat sebelum ini, saya fikir rakyat tidak akan memberikan sambutan yang baik sebegini.
"Bagi saya, sambutan ini jelas menunjukkan satu sokongan terhadap segala yang dibuat kerajaan negeri sebelum ini dan rakyat mahu usaha itu diteruskan dan ditambah baik pada penggal akan datang," katanya.