SHAH ALAM - Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli nekad membersihkan negara daripada gejala rasuah jika diberi mandat oleh rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau selaku bekas penjawat awam memberitahu pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk cuba disogok untuk mendapatkan tender.
"Banyak tender-tender dibawa kepada saya dan sudah tentu di sana ada ruang dan peluang kalau kita nak mengambil rasuah.
"Jadi saya tidak memberi ruang (rasuah) itu kepada sesiapa pun. Malah ada permohonan daripada atasan pun, saya akan ‘go by the books’ (buat mengikut panduan etika) sehinggalah saya ditukarkan 24 jam kerana saya mematuhi arahan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya ketika ditemui di Kompleks Karangkraf pada Selasa.
Ujar beliau, prosedur operasi standard (SOP) dan sistem yang diperkenalkan kerajaan untuk menolak rasuah adalah yang terbaik namun jika terdapat individu yang culas dan tidak berintegriti melaksanakannya, maka sistem tersebut akan gagal sekali gus gejala rasuah kekal dalam masyarakat.
"Ini perkara yang kita perlu beri perhatian supaya rasuah ini dapat kita banteras secara habis-habisan.
"Jadi maknanya, tidak ada ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja, yang penting integriti setiap daripada kita yang merasa rasuah itu sebagai satu perkara yang jijik dan tidak boleh dilakukan kerana apabila kita mengambil rasuah itu maka kita mengambil satu hasil yang tidak diredhai ALLAH SWT,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Rosli turut melafazkan ikrar bahawa akan memastikan usaha perangi rasuah akan diletakkan sebagai agenda utama.
"Kita akan perbaiki sistem yang ada dan kita akan memilih mereka (calon) yang berwibawa dan berintegriti tinggi untuk menerajui portfolio yang insya-ALLAH kita laksanakan untuk masa depan negara kita,” jelasnya.