PRU15: Sabah perlu sumbang sekurang-kurangnya 15 kerusi

Iklan
Ismail Sabri bersalaman dengan penduduk sewaktu tiba pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Libaran di Projek Perumahan Rakyat Gum-Gum hari ini. - Foto Bernama

SANDAKAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyasarkan sekurang-kurangnya 15 kerusi akan disumbangkan Sabah untuk membantu membentuk kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, selain Parlimen Libaran, beberapa kerusi lain di dalam zon lima diharap akan turut menyumbang kepada kemenangan untuk membentuk kerajaan nanti.

Iklan
Iklan

"Sebagai calon Perdana Menteri ke-10, saya mengharapkan sumbangan daripada Sabah ini terutamanya di kawasan-kawasan zon lima ini.

"Saya percaya zon lima boleh menyumbangkan tiga atau empat kerusi Parlimen dan di Sabah saya difahamkan minimum boleh menyumbang kepada kerajaan Persekutuan 15 kerusi.

Iklan

"Kita menyasarkan 15 antaranya termasuklah kerusi Libaran ini," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Libaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gum-Gum di sini pada Selasa.

Ismail Sabri berkata lagi, pembentukan kerajaan Persekutuan pada PRU ini bergantung kepada sumbangan kerusi daripada Sabah bagi mengelak daripada jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi.

Iklan

"Jadi, pembentukan kerajaan Persekutuan adalah bergantung kepada kerusi yang disumbangkan oleh Sabah.

"Jika Sabah gagal menyumbang kerusi bermakna kita mungkin tidak mampu menubuhkan kerajaan dan akhirnya sekali lagi kita diperintah oleh kerajaan PH yang kita tahu tidak akan menunaikan janji seperti yang mereka janjikan dalam manifesto.

"22 bulan kita hidup dalam sengsara, baru setahun empat bulan kita dapat menikmati kehidupan yang selesa di bawah kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia, jadi kita ada dua pilihan, nak pilih sengsara atau nak pilih kesenangan.

"Kalau nak pilih sengsara, boleh pilih PH, kalau nak pilih kesenangan dan kecemerlangan, pilih BN pada 19 November ini," katanya.