JOHOR Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Sabah FC 1-0 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia dalam saingan yang penuh dramatik dengan layangan kad merah di Stadium Likas sebentar tadi.
Jaringan tunggal pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi menjadi bekalan yang belum selesa buat JDT apabila menanti Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 20 November ini.
Pemain pertahanan skuad Harimau Selatan, Feroz Baharuddin pula dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua.
Turun selaku pasukan pilihan, skuad Harimau Selatan mengasak kubu tuan rumah seawal minit perlawanan untuk memburu gol semangat.
Namun, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee ampuh bertahan dan turut melancarkan serangan balas pantas.
Ia hampir membuahkan hasil, namun tandukan kencang Taesu Park diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
Tersentak asakan itu, JDT mengadakan serangan dan berjaya menggegar gawang Sabah FC, namun tandukan Bergson Da Silva dibatalkan oleh pengadil kerana ofsaid pada minit ke-22.
Perlawanan juga berlangsung tegang apabila pemain Sabah FC, Badrul Affendi Mohd Fadzli dan penjaga gol, Damien Lim dilayangkan kad kuning.
Pemburuan JDT untuk memecah kebuntuan gol akhirnya berhasil apabila larian pemain sensasi, Arif Aiman berjaya mengelirukan benteng Sabah sebelum merembat dengan kaki kiri pada minit ke-34.
Bersambung babak kedua, aksi kedua-dua pasukan bertambah agresif dalam misi mereka memburu gol.
Ia turut mengundang kekasaran dalam kalangan pemain yang membuatkan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali tiada pilihan selain melayangkan kad kuning.
Pemain veteran, Amri Yahyah, Gerald Gadit dan Dominic Tan antara pemain The Rhinos yang menerima kad kuning selain Bergson.
Skuad Harimau Selatan juga berpeluang untuk menambah jaringan apabila Bergson dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Rawilson.
Namun, ketangkasan Damien yang merupakan anak saudara jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim mengecewakan Bergson dan JDT untuk menambah jaringan.
Skuad Harimau Selatan kemudian terpaksa beraksi 10 pemain apabila Feroz dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Saddil Ramdani pada minit ke-73.
Bagaimanapun kesempatan itu gagal dimanfaatkan oleh Sabah FC untuk meledak gol apabila JDT ampuh bertahan dan keputusan kekal 1-0 sehingga wisel penamat.
Sabah FC mara ke separuh akhir setelah mengalahkan Kuching City FC 2-1 secara agregat, manakala JDT pula bukan saingan Kelantan FC apabila mudah membenam pasukan dari Pantai Timur itu 8-0.