KAPTEN Argentina, Lionel Messi memilih Brazil, Perancis dan England sebagai ancaman terbesar kepada impiannya untuk mengakhiri kemarau menjulang trofi Piala Dunia di Qatar 2022 yang menyingkap tirai pada 21 November ini.
Penyerang Paris St Germain (PSG) berusia 35 tahun itu sekali lagi akan menggalas misi Argentina di Qatar ketika La Albiceleste berusaha untuk memenangi gelaran dunia ketiga negara Amerika Selatan itu dan pertama sejak 1986.
"Setiap kali kami bercakap tentang calon, kami selalu bercakap mengenai pasukan yang sama.
"Jika anda tanya saya pasukan yang akan menghadirkan ancaman kepada Argentina pastinya Brazil, Perancis dan England.
"Namun secara keseluruhannya Piala Dunia merupakan kejohanan yang sangat sukar dan begitu rumit sehingga sebarang kemungkinan boleh berlaku,” kata Messi.
Untuk rekod, Messi mengetuai Argentina mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Brazil 2014, namun kecundang 0-1 kepada Jerman hasil jaringan Mario Götze pada minit ke-133 masa tambahan.
Juara Copa Amerika itu tampil ke Qatar 2022 dengan reputasi tidak tewas dalam 35 perlawanan dan jika ini adalah Piala Dunia terakhir Messi, La Albiceleste berada dalam prestasi untuk menjulang kejuaraan.
"Kami sangat teruja. Kami mempunyai kumpulan para pemain yang sangat bagus dan sangat bersemangat, namun kami akan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Kami berharap dapat memulakan kempen Piala Dunia dengan cara terbaik bagi menghadapi segala-galanya selepas itu. Lebih banyak anda bermain dan lebih banyak masa yang anda luangkan di padang, dan lebih banyak anda mengenali satu sama lain," katanya.
Diundi dalam Kumpulan C Argentina menyingkap cabaran dengan berdepan Arab Saudi pada 22 November sebelum menentang Mexico (27 November) dan Poland (1 Disember).