KUALA SELANGOR - Forum Sesi Pembentangan Pandangan Politik membabitkan empat calon Parlimen Kuala Selangor sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijadualkan berlangsung malam Selasa terpaksa dibatalkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Daerah Kuala Selangor, Tan Cat Keong berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya tidak mendapat kelulusan permit daripada polis.
Sehubungan itu, katanya, penganjur memohon maaf atas pembatalan forum itu yang sepatutnya diadakan di One Plaza di sini pada jam 8 malam.
"Penganjuran forum ini mempunyai objektif tepat iaitu mahu memupuk budaya politik sihat berlandaskan perlembagaan negara," katanya ketika berucap semasa memohon maaf kepada tetamu undangan yang hadir menyaksikan forum itu pada Selasa.
Menurut Cat Keong, forum itu diharap menjadi pentas untuk setiap calon mengetengahkan sistem demokrasi diamalkan di negara ini yang matang dan budaya politik subur.
"Negara kita ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
"Hanya budaya politik matang dan sihat menjadi asas kepada kestabilan serta asas kepada pembangunan ekonomi dan negara.
"Kami mengambil inisiatif menganjurkan forum dengan menemukan keempat-empat calon ini agar mereka dapat berpolitik secara sihat dan matang sambil menyuarakan pandangan masing-masing," kata beliau.
Ujar beliau, sejak kebelakangan ini, gejala politik negara lebih condong ke arah negatif dan ia dilihat amat membimbangkan.
Malah, katanya, pihaknya amat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihati semua calon PRU15 mengamalkan persaingan sihat dalam kempen pilihan raya dengan mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Forum Sesi Pembentangan Pandangan Politik yang dijadualkan malam ini sepatutnya menampilkan keempat-empat calon Parlimen Kuala Selangor iaitu Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Barisan Nasional), Mohd Noor Mohd Sahar (Perikatan Nasional) dan Mohd Shaid Rosli (Pejuang).