Menang PRU15 dahulu baharu namakan calon PM: Tun M

Iklan
Dr Mahathir ketika berucap pada program Negarawan Bersama Doktor Banjir Gegar Ampang di sini pada Selasa.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Gerakan Tanah Air (GTA) perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlebih dahulu sebelum menamakan calon perdana menteri.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada keperluan untuk menamakan calon tersebut buat masa ini.

Iklan
Iklan

"Kita tiada calon perdana menteri pun... apa guna nak ada calon kalau kita kalah apa kita nak buat? Dia (calon) pun tak jadi calon.

"Kita tunggu sampai kita menang. Dengan pertolongan dan sokongan anda semua, saya harap kita menang cukup bilang (kawasan) untuk dirikan kerajaan," katanya ketika berucap pada program Negarawan Bersama Doktor Banjir Gegar Ampang di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; calon Ahli Parlimen Ampang Dr Nurul Ashikin Mabahwi dan calon Ahli Parlimen Shah Alam Rafique Rashid Ali.

Sebelum ini media melaporkan GTA yang bertanding menggunakan nama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada PRU15 mengemukakan calon di 121 kerusi Parlimen.

Iklan

Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 40 peratus calon muda dan selebihnya pelbagai peringkat umur.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang menambah semua pihak yang menang berhak untuk pilih siapa yang ingin menjadi perdana menteri.

"Waktu ini tidak perlu namakan perdana menteri. Kita nak jadi perdana menteri hanya kerana undang-undang memerlukan kita menjadi perdana menteri," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, GTA berhasrat untuk memenangi lebih 112 kawasan agar dapat membentuk kerajaan.

"Ini adalah hasrat kita kerana mengikut undang-undang, untuk membentuk kerajaan, kita mesti dapat lebih daripada 50 peratus kerusi dalam Dewan Rakyat," katanya.