PERLAWANAN separuh akhir pertama Piala Malaysia, Selangor FC menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dijangka berlangsung sengit.
Itu ramalan jurulatih berpengalaman, B Sathianathan ketika ditanya berkenaan dengan jagoan bola sepak negara tersebut yang mengintai slot perlawanan akhir kejuaraan tertua bola sepak negara berkenaan.
Malah biarpun mengakui bahawa anak buah Nafuzi Zain memiliki kelebihan berdasarkan dua kemenangan aksi Liga Super dan separuh akhir Piala FA, namun itu tidak boleh dijadikan ukuran tuan rumah yang baharu dikendalikan Tan Cheng Hoe.
"Sukar untuk saya meramalkan siapa yang paling layak sama ada Selangor atau Terengganu yang akan ke perlawanan akhir. Ini kerana kedua-dua pasukan itu mempamerkan aksi yang seimbang dalam saingan awal Piala Malaysia ini.
"Ya, Terengganu miliki rekod baik namun itu tidak boleh dijadikan kayu ukur kerana kita harus ingat, aksi menentang Terengganu sebelum ini, bukan Cheng Hoe yang kendalikan. Di bawah Cheng Hoe Selangor masih belum tewas lagi dalam perlawanan musim ini.
"Saya rasa peluang kedua-dua pasukan seimbang untuk mara ke perlawanan akhir. Saya rasa kalau pasukan yang akan ke final nanti mungkin menang dengan perbezaan defisit gol 1-0 atau 2-1 sahaja,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Dalam tiga pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini kemenangan memihak TFC bermula dengan mengatasi Selangor, 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (22 April) diikuti di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (17 Ogos) dengan jaringan sama.
Pada saingan Piala FA, skuad Penyu juga cemerlang apabila menyingkirkan Gergasi Merah 4-2 menerusi penentuan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 6 Ogos lalu.
Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan isu luar padang yang melanda TFC ketika ini, bekas pengendali skuad kebangsaan tersebut yakin masalah tersebut tidak akan mengganggu momentum pasukan tersebut.
"Saya tidak rasa masalah isu yang melanda Terengganu ketika ini akan menjejaskan momentum pasukan. Kalau ada ia mungkin tidak akan beri kesan yang banyak.
"Sebab ketika ini sudah tentu bermain di peringkat seperti ini, para pemain sudah tentu bersemangat mahu membuktikan sesuatu sama ada untuk kelab ataupun diri mereka sendiri.
"Jadi saya ingatkan Selangor supaya berwaspada. Kalau mereka ambil mudah cabaran Terengganu mereka akan dihukum,” ujarnya.