SEJAK Isnin lalu, orang ramai mula berkongsi video rakaman penerbangan pertama penghantaran pulang pesawat Malaysia Airlines A380 ke tempat asal pembuatannya di Perancis.
Rasa sebak dan sedih untuk melepaskan pesawat kebanggaan negara itu yang mungkin pergi tidak akan kembali lagi kerana kita tidak lagi mampu menanggung kos ‘menjaga’ sangat tinggi.
Berkemungkinan besar, pesawat itu akan dilupuskan sekiranya masih belum ada pihak berminat untuk membeli. Sudah setahun Malaysia Airlines mengeluarkan notis tender menjual.
Malaysia Airlines mempunyai enam unit pesawat tersebut dan difahamkan, penghantaran pulang dibuat secara berperingkat pada setiap Isnin bermula 14 November.
Bagi rakyat negara ini, pesawat dua tingkat yang diberi jolokan nama Dugong Malaysia itu bukan sekadar sebuah kapal terbang biasa.
Selain penerbangan tanpa henti ke destinasi seperti London, Seoul, Tokyo, Hong Kong dan Australia, A380 juga telah membawa ribuan jemaah ke Madinah serta Jeddah menunaikan haji dan umrah.
Mengimbau kenangan 12 tahun lalu, ketibaan pesawat komersial terbesar dunia itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut meriah yang dilihat era baharu sektor penerbangan negara.
Malaysia Airlines merupakan pelanggan kelapan dan terakhir membeli pesawat itu sebanyak enam unit. Selepas 10 tahun berkhidmat, malang buat pesawat menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900 dengan kapasiti 494 penumpang itu apabila ‘terkandas’ hampir dua tahun di KLIA akibat pandemik.
Walaupun tiada penerbangan antarabangsa, namun Malaysia Airlines masih perlu mengeluarkan perbelanjaan penyelenggaraan yang tinggi. Sejajar dengan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 bagi menyelamatkan syarikat terus mencatatkan kerugian, tender menjual dikeluarkan pada Julai 2021.
Anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG), MAB Pesawat Sdn Bhd diberikan tanggungjawab melaksanakan tender terbuka bagi penjualan pesawat itu. Namun selepas setahun, tiada pihak tampil membeli, akhirnya rakyat Malaysia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Airbus A380.
Malaysia bukanlah negara pertama menghantar pulang A380 kepada pengeluarnya, Airbus SE. Malah, syarikat itu sendiri memberhentikan pengeluaran pesawat tersebut tahun lalu kerana kurang mendapat permintaan.
Namun, rakyat di negara ini masih boleh merasai pengalaman penerbangan menggunakan A380 milik Emirates Airline yang menyambung semula operasi bagi laluan Kuala Lumpur-Dubai mulai 1 Disember ini.