Pembekal buluh 'tumpang' rezeki sempena PRU15

Iklan
Pembekal Buluh, Ghazali Hassan menebang buluh bagi memenuhi permintaan sekaligus memperolehi pendapatan tambahan kira-kira RM5,000 sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini. - Foto Bernama

PADANG BESAR - Penggunaan buluh begitu sinonim apabila tiba musim perayaan, namun pada tahun ini pembekal buluh di seluruh negara mendapat manfaat dan 'tumpang' rezeki susulan permintaan yang tinggi sempena Pilihan Raya Umum ke-5 (PRU15).

Batang buluh sering kali diguna pada PRU sebagai tiang bendera bagi mengibarkan bendera-bendera gabungan parti-parti yang bertanding seperti BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PN) dan beberapa parti lain.

Iklan
Iklan

Penjual buluh terkenal, Ghazali Hassan, 60, yang membekal dan memborong pelbagai batang buluh di kawasan Padang Besar sejak lima tahun lepas, berkata, sejak bahang PRU semakin terasa, beliau telah banyak menerima tempahan bukan sahaja dari penduduk setempat malah di sekitar lokasi berkenaan.

"Sepanjang PRU15 ini, sekitar ratusan batang buluh berjaya dijual, hinggakan bekalan milik saya pun sudah habis dan terpaksa minta bantuan daripada rakan-rakan lain yang memiliki pokok buluh untuk menyiapkan tempahan pelanggan,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau yang juga seorang pesawah dan terkenal dengan panggilan ‘Encik Man’ ternyata bersyukur kerana bukan hanya dia yang menerima tempias rezeki PRU, malah rakan-rakannya turut berkongsi rezeki sampingan ketika tibanya PRU.

"Penjualan batang buluh selalunya hanya dijadikan pendapatan sampingan sahaja kerana ia bermusim terutama pada Hari Raya, kenduri dan beberapa acara lain, namun dengan tibanya PRU, ia sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan penduduk kampung di sekitar ini.

Iklan

Menjelas lanjut, beliau berkata, batang buluh dipilih berdasarkan ketebalan, ketahanan malahan harga juga berbeza mengikut jenis kerana harga yang dijual adalah antara RM2.00 hingga RM5.00 untuk sebatang pokok buluh.

Buluh yang dijual dengan harga sekitar RM2 - RM5 sebatang menjadi pilihan di Perlis untuk digunakan sebagai tiang bendera parti kerana ia mudah lupus berbanding paip PVC yang boleh mencemarkan alam sekitar. - Foto Bernama

"Bermula hari berkempen kira-kira RM5,000 kutipan berjaya dikumpul dan dibahagi kepada beberapa penduduk kampung yang menolong saya membekalkan batang buluh ini. Mereka pula akan memperoleh pendapatan tambahan mengikut jumlah bekalan yang diberikan,” katanya.

Ghazali (kiri) memenuhi permintaan sekali gus memperolehi pendapatan tambahan kira-kira RM5,000 sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sini. - Foto Bernama

Ghazali berkata, pokok buluh jenis Buluh Madu dan Buluh Rusa sering digunakan sewaktu PRU ini kerana bentuknya yang menegak dan tidak membengkok sesuai dipasang bendera dan kain rentang calon.

"Panjang batang buluh pula berbeza mengikut saiz bendera yang akan dipasang kerana ada pembeli yang menempah 4.6 Meter (m), 3.4 m dan beberapa saiz lain” katanya menambah buluh sering digunakan sewaktu berkempen dalam pilihan raya kerana ia mudah dilupus dan musnah secara semulajadi berbanding paip PVC yang tidak mesra alam sekitar. - Bernama