PRU15: Masih ada mahasiswa mohon bantuan balik mengundi

Iklan
Deretan bendera parti politik menghiasi jalan sempena PRU15. (Gambar kecil: Huzayl, Siti Dayana)

SHAH ALAM - Rintihan mahasiswa yang mahu pulang mengundi di kampung halaman didengari Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni) apabila projek ‘Free Ride Pulang Mengundi’ ditawarkan kepada mereka memerlukan.

Presidennya, Huzayl Mohammad Noor Sia berkata, inisiatif tersebut digerakkan apabila Harmoni masih menerima panggilan daripada golongan mahasiswa yang memohon bantuan meringankan beban untuk pulang mengundi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, corak pulang mengundi dalam kalangan anak muda sangat memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malah kaji selidik turut menunjukkan golongan mahasiswa begitu bersemangat untuk pulang mengundi.

Meskipun begitu, katanya, tidak semua universiti mempunyai kapasiti bagi menampung dan membantu penuntut pulang ke kampung menunaikan tanggungjawab.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, Harmoni menggerakkan tiga model bantuan dalam projek ‘Free Ride Pulang Mengundi’ bagi memastikan proses membantu mahasiswa memerlukan berjalan lancar.

"Model pertama yang Harmoni laksanakan adalah menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi menghantar mahasiswa ke kampung halaman dan usaha ini mendapat kerjasama baik daripada persatuan anak negeri di pusat pengajian tinggi yang menyediakan senarai penuntut memerlukan bantuan.

Iklan

"Kedua adalah menyediakan perkhidmatan kongsi kereta secara percuma. Kemudahan ini bertujuan membantu menghantar mahasiswa yang sudah mempunyai tiket bas tetapi tidak mempunyai kemudahan kenderaan untuk ke terminal pengangkutan awam tersebut.

"Model ketiga adalah memberi peluang kepada golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan untuk membuat tuntutan di atas tiket bas dan tiket kapal terbang ke Borneo yang telah dibeli,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa. Harmoni merupakan rakan gabungan Rasuah Busters.

Tambah Huzayl, seramai 10 mahasiswa dari Sabah dan Sarawak berpeluang membuat tuntutan tiket kapal terbang kepada Harmoni, manakala 100 orang untuk tuntutan tiket bas.

Sementara itu, Pengarah Projek ‘Free Ride Pulang Mengundi’, Siti Dayana Zawani berkata, empat buah bas disediakan bagi membawa mahasiswa pulang mengundi iaitu di Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dua kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor serta Pagoh, Johor.

Bagi perkhidmatan bas, Siti Dayana yang juga Ketua Jawatankuasa Kesukarelawanan Persatuan Belia Harmoni berkata, dianggarkan 160 mahasiswa akan pulang mengundi secara percuma.

Sementara itu bagi perkhidmatan kongsi kereta yang disediakan, menurutnya, dianggarkan seramai 200 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) akan dihantar ke terminal bas berdekatan dari pusat pengajian masing-masing.

"Kepada mahasiswa yang ingin mendapatkan perkhidmatan ‘Free Ride Pulang Mengundi’ boleh hubungi pegawai petugas Harmoni di pusat pengajian masing-masing.

"Petugas Harmoni terdapat di lapan universiti tempatan iaitu UM, UIAM, UUM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),” katanya.