PRU15: Swasta juga perlu gaji awal

Iklan
Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhammad Faisal Abdul Aziz)

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa majikan sektor swasta mengambil inisiatif memberikan bayaran gaji awal kepada pekerja bagi memudahkan urusan pulang ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pekerja swasta juga layak mendapat keistimewaan itu kerana kumpulan tersebut turut menunaikan tanggungjawab selaku rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

"Ketetapan jadual penerimaan gaji kakitangan awam diawalkan kepada tarikh 17 November 2022 satu perkembangan yang harus dipuji.

"Langkah ini antara usaha kerajaan menggalakkan penjawat awam untuk turun mengundi pada Sabtu ini.

Iklan

"Kita sarankan agar pihak swasta juga mengambil langkah sama (beri gaji awal) bagi memastikan usaha menggalakkan rakyat keluar mengundi beramai-ramai tercapai termasuk pengundi muda.

"Tindakan sebegini (beri gaji awal kepada pekerja sektor swasta) sebagai tanda penghargaan kepada pekerja, selain memberi peluang kepada mereka pulang ke kampung untuk bertemu keluarga sempena cuti umum pilihan raya ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan Jumaat dan Sabtu ini sebagai hari pelepasan am bagi memudahkan urusan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15.

Iklan

Ismail Sabri turut memaklumkan, kerajaan bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji kepada penjawat awam diawalkan kepada 17 November, manakala bayaran pencen pada 15 November.

Sementara itu, Muhammad Faisal turut menggesa kesemua majikan swasta mengisytiharkan cuti umum pada 18 dan 19 November ini kepada semua pekerja mereka.

Tegasnya, pilihan raya umum (PRU) merupakan pesta demokrasi yang harus diraikan semua pihak dengan pelaksanaan hak dan tanggungjawab memilih kerajaan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

"ABIM ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan kepada pengundi terutama golongan muda supaya membuat pertimbangan sewajarnya apabila ingin memilih bakal pemimpin nanti.

"Pastikan pemimpin yang bakal dipilih itu mampu melaksanakan tanggungjawab bukan memilih berdasarkan emosi semata-mata,” katanya.