Maqis rampas produk tenusu, tuna bernilai RM45,000

Iklan
Maqis Selangor merampas produk tenusu dan tuna dalam tin bernilai RM45,000 di Pelabuhan Barat, Klang pada Isnin.

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas produk tenusu dan tuna dalam tin bernilai RM45,000 di Pelabuhan Barat, di sini pada Isnin.

Pengarah Maqis Negeri Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, rampasan itu membabitkan 432 kotak produk tenusu dan 300 kotak tuna dalam tin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semakan mendapati dagangan dari Arab Saudi itu dibawa masuk dan tidak diikrar pada borang kastam selain tiada permit import Maqis.

"Kesemua dagangan bernilai RM45,000 itu dirampas dari sebuah kontena ketika pemeriksaan rutin yang dijalankan di pelabuhan.

Iklan

"Jika sabit salah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tegasnya, Maqis akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Iklan

Jelasnya, pemeriksaan itu juga bertujuan bagi memastikan pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.