PEMAIN sayap Brazil, Raphinha menyifatkan Piala Dunia adalah saat yang baik untuk menyerlahkan lagi perasaan kebersamaan dalam kalangan rakyat negara itu ketika dia mengimbau negaranya memenangi gelaran 2002.
Bintang kelab La Liga Barcelona itu sebelum ini yang membuat penampilan sulung di Brazil pada Oktober 2021, akan beraksi di Piala Dunia pertamanya di Qatar.
"Saya sudah bersedia untuk Piala Dunia dan sesungguhnya akan bekerja keras sebaik mungkin di sana dari segi fizikal dan mental.
"Suasana dalam pasukan sekarang adalah semangat untuk memenangi setiap perlawanan dan mahu memenangi kejuaraan. Itu petanda positif pada masa ini.
"Saya tidak melihat suasana ini sebagai tekanan, pasukan seperti Brazil sentiasa menjadi pesaing untuk Piala Dunia atau mana-mana kejuaraan yang mereka mainkan. Permintaan penyokong adalah perkara biasa kerana kami adalah pasukan berkualiti tinggi, dengan nama besar," kata Raphinha dalam wawancara yang diterbitkan oleh Barca pada Isnin.
Raphinha menyertai Barcelona pada Julai dari kelab Liga Perdana Inggeris, Leeds United untuk mengikuti jejak langkah pemain hebat Brazil seperti Romario, Ronaldo, Ronaldinho dan Neymar di Nou Camp.
"Saya tidak terlalu ingat tentang Piala Dunia 2002 kerana saya masih sangat muda. (Tetapi) ia adalah satu perasaan yang luar biasa dan tidak dapat digambarkan.
"Semua rakyat Brazil berpelukan dan bersatu. Kini ia adalah saat yang baik untuk membawa kita semua bersama lagi," kata pemain berusia 25 tahun itu sambil mengingati kemenangan 2-0 Brazil ke atas Jerman pada perlawanan akhir di Jepun 20 tahun lalu, hasil sentuhan dua gol daripada Ronaldo.
Raphinha, yang mempunyai 11 caps dan lima gol antarabangsa termasuk tiga dalam kelayakan Piala Dunia, berharap dapat mengulangi kejayaan Brazil pada 2002 - rekod kejuaraan dunia kelima mereka.
"Jika kami memenangi Piala Dunia, saya berjanji akan melakukan perkara yang sama seperti dilakukan ketika kami berjaya mengekalkan Leeds dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu,” katanya.
Untuk rekod, Brazil yang diundi dalam Kumpulan G memulakan kempen Piala Dunia menentang Serbia Stadium Lusail pada 25 November diikuti berdepan Switzerland (29 November) dan Cameroon (3 Disember).