KOTA BHARU - Seorang penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tersenarai sebagai calon bagi Top 100 Young Talent, Asia Young Talent Awards 2022 (MonStar Awards).
Pencalonan penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Sumber Asli), Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Shameera Nasreen Ahamed Noordeen, 23, itu diumumkan oleh laman rasmi https://monstarawards.gomonsta.asia/.
Shameera Nasreen antara ratusan calon yang dipilih dari Asia berdasarkan kriteria peribadi, bakat akademik serta aktif dalam kokurikulum di universiti yang diiktiraf oleh negara.
Beliau pernah dilantik sebagai Naib Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar UMK pada 2020/2021 dan aktif debat, moderator dan hos.
Shameera Nasreen berkata, platform-platform tersebut digunakan untuk mengutarakan isu wanita dan pemerkasaan Akta Antigangguan Seksual.
"Saya akan menjalani proses saringan seterusnya untuk pemilihan ke pusingan akhir 10 Top Asia Young Talents Award,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Menurut penuntut itu, peserta dinilai berdasarkan esei dan persembahan video pendek mengenai personaliti, keaslian serta viraliti.
"Lima panel juri yang akan membuat penilaian antaranya aktivis dan penulis sosio-politik Malaysia, Datin Marina Mahathir.
"Saya fokus untuk berjaya ke tahap 10 teratas,” katanya.
Anugerah tersebut dianjurkan oleh Monsta Asia bertujuan mengiktiraf bakat muda dalam komuniti.