PRU15: Calon PN tawar enam agenda tambahan untuk Rembau

Iklan
Mohd Nazree (empat dari kanan) menunjukkan manifesto tambahan buat warga Rembau.

SEREMBAN - Menjelang beberapa hari tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Rembau, Mohd Nazree Mohd Yunus melancarkan manifesto tambahannya dikenali sebagai Rembau Maju Bersama.

Tawaran itu meliputi enam agenda berkaitan wanita, pelancongan, pendidikan, belia, budaya dan komuniti.

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Nazree, tawaran itu sebagai tanda komitmennya kepada pengundi Rembau sekiranya diberi kepercayaan untuk menjadi ahli Parlimen.

"Jadi saya kumpul semua maklumat itu dan merangka manifesto tambahan khusus buat warga Rembau yang mana ia berbeza dengan tawaran 'PN Best',” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Ujarnya, pihaknya bercadang mendirikan Pusat Pemerkasaan Wanita Rembau, Pusat Pelancongan Eko Rembau dan Pusat Pengembangan Pendidikan Komuniti Rembau.

Selain itu katanya, pihaknya juga bercadang mendirikan Pusat Kreativiti Pemuda Rembau, Perkampungan Budaya Rembau serta Pusat Integrasi Khidmat dan Bantuan Komuniti Rembau.

Iklan

"Ia bukan sekadar janji kerana manifesto ini terbentuk hasil daripada maklumat yang kita kumpul daripada pengundi Rembau dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin sekiranya PN diberi mandat di Rembau.

"Lagi pun bagi saya ia tidak terlalu sukar untuk dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Mohd Nazree akan berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Rembau iaitu dari Datuk Seri Mohamad Hasan (BN), Jufitri Joha (Pakatan Harapan), Ramly Awalludin (Pejuang) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).