SIPITANG - Penduduk di dua kampung di sini merayu supaya projek infrastruktur melibatkan loji air dan solar hibrid diteruskan dan bukannya dibiarkan menjadi projek 'gajah putih'.
Penduduk Kampung Meligan, Tadom Salat, 53, mendakwa bahawa projek Loji Air Kampung Meligan dan solar hibrid terbengkalai menyebabkan mereka tidak menerima bekalan air bersih dan elektrik ketika ini.
"Loji sudah disediakan tetapi belum pernah kami gunakan air yang disalurkan ke paip. Begitu juga projek solar hibrid yang sudah dipasang wayar dan sebagainya tetapi malangnya kawasan itu sudah menjadi hutan akibat terbengkalai.
Tadom berkata, loji itu jika beroperasi boleh menampung keperluan penduduk di tiga lagi kampung berhampiran Kampung Meligan.
Sementara itu, Ketua Kampung Long Pasia, Yakub Sim, 57, mahu projek solar hibrid diteruskan selepas tertangguh sejak sekian lama.
"Kami mahu projek solar hibrid diteruskan untuk kemudahan penduduk kampung di sini kerana sejak dibina pada 2017 namun masih belum beroperasi.
"Jadi kami berharap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Matbali Musah dapat membantu supaya kami mendapat manfaat setaraf kawasan luar," katanya.
Yakub dalam pada itu berharap kampung tersebut mendapat alat penapis air supaya penduduk di beberapa kampung di sekitarnya turut menikmati air yang lebih bersih.
"Sementara menunggu bekalan air bersih dapat disalurkan kepada penduduk, kami juga berharap supaya disumbangkan alat menapis air graviti supaya kami dapat menikmati air yang bersih.
"Air graviti yang kami dapat kurang bersih dan berwarna merah, sebab itu kami memerlukan alat penapis sebelum disalurkan ke rumah-rumah penduduk," katanya.