KUALA LUMPUR - Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki bas ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Jalan Duta, di sini, pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai sembilan lelaki dan lima wanita warga Indonesia berusia 15 hingga 49 tahun itu dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah menggunakan laluan haram di sekitar Chuping, Perlis.
"Kita menerima maklumat bahawa PATI berkenaan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah bas pada jam 10 pagi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Khairul Dzaimee berkata, pasukan operasi telah mengesan bas yang membawa sekumpulan 14 PATI tersebut di lebuh raya dan bertindak mengekori sehingga ke hentian bas Jalan Duta.
"Semakan lanjut ke atas pasport kesemua mereka mendapati ada cap keluar Imigresen Thailand dan cap masuk Imigresen Malaysia (Padang Besar) yang disyaki palsu.
"Cap masuk imigresen palsu digunakan di dalam pasport mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa kononnya mereka masuk secara sah dan melalui pemeriksaan Imigresen," katanya.
Beliau berkata, lapan daripada mereka dikesan memiliki rekod senarai hitam daripada memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau. Selebihnya tidak memiliki sebarang rekod kemasukan.
"Modus operandi sindiket adalah dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke Thailand sebelum masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan Malaysia -Thailand dengan berjalan kaki.
"Kemudian mereka akan menaiki kenderaan ke lokasi yang ditetapkan untuk menaiki bas menuju Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, kesemua mereka mengaku membayar kepada ejen di negara mereka sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 untuk urusan kemasukan ke negara ini.
"Kesemua mereka juga mengaku tidak membuat pemeriksaan imigresen semasa masuk dan hanya ejen yang menguruskan pasport mereka semasa berada di rumah penampungan.
Tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja semula di tempat lama mereka bekerja di sekitar Kuala Lumpur dan bekerja dengan majikan baru yang telah diatur awal," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, kesemua yang diperiksa ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
"Mereka ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah akta yang sama," katanya.