PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 3 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan enam lelaki yang dihukum mati selepas mereka disabitkan dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, tujuh tahun lepas.
Jasmine Cheong, salah seorang peguam yang mewakili bekas pakar patoloji, Kolonel Dr R. Kunaseegaran, ketika dihubungi pada Rabu, mengesahkan bahawa tarikh pendengaran rayuan ditetapkan semasa pengurusan kes sebelum ini pada 30 September dan 11 November lalu.
Beliau berkata, satu lagi pengurusan kes telah ditetapkan pada 9 Disember ini untuk arahan mengenai penghujahan.
Pada 10 Julai 2020, Kunaseegaran, 59, pemberi pinjaman wang S. Ravi Chandaran, 51, dan empat penganggur R. Dinishwaran, 30, A.K. Thinesh Kumar, 29, M. Vishwanath, 32, serta S. Nimalan, 29, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mereka didapati bersalah membunuh Morais.
Mereka didakwa membunuh Morais, 55, di satu lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.
Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur, untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana.
Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015. - Bernama