PORT DICKSON - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjangkakan yang rakyat telah membuat keputusan parti mana yang akan diundi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini kerana katanya, rakyat sudah meluat dengan keadaan yang berlaku kepada negara selepas PRU14.
"Rakyat sudah meluat dan tahu mereka telah tertipu kerana pada PRU14 pelbagai janji manis dilemparkan.
"Selepas enam hingga tujuh bulan ramai yang mula tanya saya bila nak buat pilihan raya kerana sudah tidak tahan lagi," katanya ketika berucap pada program Tok Mat Bersama Calon Parlimen Port Dickson di Sunggala Gateway di sini pada Rabu.
Ini kerana katanya, selepas PRU14, keadaan negara tidak menentu yang menyebabkan berlaku krisis keyakinan dalam kalangan pelabur asing.
"Negara kita dahulunya dikagumi di peringkat antarabangsa dan kitalah menjuarai negara dunia ketiga.
"Tapi malangnya selepas PRU14, negara kita perlahan-lahan hilang 'taringnya' yang mana daripada sebuah negara yang dikenali sebagai harimau Asia kini telah jauh ketinggalan," katanya.
Justeru itu, Mohamad berkata, rakyat jangan sekali lagi membuat kesilapan kerana ia akan membuatkan mereka menderita dalam tempoh lima tahun lagi.