Yang menang jangan lupa janji, yang kalah teruskan berbakti

Iklan

PEJAM celik, pejam celik, hari ini sudah masuk hari ke-13 berkempen sejak 'gelanggang' dibuka pada Sabtu, 5 November lalu. Ini bermakna hanya ada 48 jam terakhir iaitu hari ini dan esok buat kesemua calon dan parti-parti politik menarik hati pengundi.

Merak Jalanan percaya masing-masing sudah masuk 'gear lima' menuju tengah malam 18 September ini. Apa tidaknya, dengan masa yang berbaki sekarang, sudah tentu setiap calon mahupun parti-parti politik sibuk mengatur langkah dan strategi masing-masing.

Iklan
Iklan

Yang pasti, bahang kehangatan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin terasa. Bukan sahaja suhunya cukup dirasai buat parti-parti politik mahupun calon-calon yang bertanding, malahan sudah merebak kepada jutaan rakyat Malaysia.

Dengar cerita masing-masing sudah tidak sabar nak mengundi. Tambahan pula selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan cuti khas dan tol percuma pada 18 dan 19 November bagi memudahkan 'keluarga Malaysia' mengundi.

Iklan

Berbalik cerita PRU kali ini, Merak Jalanan ada sedikit 'pesanan penaja' buat parti-parti politik terlibat khususnya semua calon yang bertanding. Biasalah adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah.

Kepada calon yang menang nanti, tahniah Merak Jalanan ucapkan. Paling penting, jangan lupa janji-janji yang ditaburkan kepada pengundi anda. Apabila dipilih sebagai wakil rakyat, tunaikanlah janji-janji itu sebaik mungkin.

Iklan

Kepada calon yang tewas pula, usah terlalu kecewa kerana tidak dapat memegang status wakil rakyat. Tak bermakna apabila tidak menjadi wakil rakyat, anda tidak boleh berkhidmat kepada rakyat.

Sebaik-baiknya teruskanlah khidmat bakti kepada rakyat sekalipun bukan bergelar Yang Berhormat (YB). Siapa sangka rezeki anda dipilih sebagai YB pada PRU akan datang.