Replika drawbridge, wau bulan gergasi tarikan kempen PRU15

Iklan
Replika jambatan angkat yang dibina pemuda.

BESUT - Suasana kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada Sabtu ini meriah dengan kreativiti pemuda membina replika Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau dikenali 'drawbridge' di Kampung Gong Nangka, Jabi, di sini.

Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Kampung Gong Nangka, Mohammad Ramzi Ibrahim, 25, berkata, idea membina replika jambatan ikonik Terengganu itu tercetus selepas beliau bersama rakan-rakan mahu mencipta kelainan dalam pilihan raya umum kali ini.

Iklan
Iklan

"Dalam PRU14, kami bina replika kereta kebal dan oleh kerana Terengganu kini popular dengan jambatan angkat jadi kami bersetuju memilih buat drawbridge pada kali ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, replika jambatan angkat sepanjang lebih 7 meter itu dibina secara bergotong royong bersama lapan pemuda pada waktu petang selepas habis waktu kerja dan bersambung sebelah malam hingga jam 2 pagi.

Iklan
Replika wau bulan gergasi yang dibina penduduk.

Mohammad Ramzi berkata, menggunakan buluh sebagai rangka, kayu pelet sebagai lantai, dibalut dengan bendera Pas serta dihiasi lampu kelip kelip, ia mengambil masa tiga minggu untuk dibina dan siap sepenuhnya pada Isnin lalu.

"Kami gembira kerana jambatan ini dikunjungi ramai orang untuk bergambar termasuk dari Kelantan. Kata mereka, maklumat tentang replika drawbridge ini diketahui melalui TikTok," katanya.

Iklan

Sementara itu di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan, di sini, sekumpulan penduduk turut mengambil inisiatif membina replika wau bulan gergasi berukuran 18 kaki lebar dan 19 kaki tinggi, iaitu yang terbesar pernah mereka hasilkan setakat ini.

Pengerusinya, Mohd Azri Hashim berkata, pembuatan replika itu menggunakan buluh yang dicari di kawasan berhampiran, kain dari bendera Pas sedia ada serta tiub getah sahaja untuk mengikat wau itu agar lebih kukuh dan stabil.

"Proses membuat replika wau bulan gergasi ini mengambil masa tiga hari hasil gotong royong lapan orang penduduk pada waktu malam. Kita turut pasang lampu kelip kelip supaya nampak cantik dan tarikan pada waktu malam.

"Kami semua ni bukanlah pakar membuat wau bulan gergasi, tapi kami sepakat berusaha hasilkan sama-sama sebagai tanda sayang dan sokongan moral kepada parti," katanya.