PASIR SALAK - Calon BN Parlimen Pasir Salak dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya bertekad mahu menjadikan kawasan itu sebagai ibu kota dan hub pertanian masa depan.
Manifesto Aspirasi Pasir Salak dilancarkan oleh calon Parlimen, Khairul Azwan Harun; calon DUN Sungai Manik, Datuk Ibrahim Katop dan DUN Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menggariskan lima teras untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
Teras tersebut adalah membina ekonomi tempatan, memartabatkan modal insan tempatan, mempertingkatkan kesiapsiagaan infrastruktur dan kemudahan asas, mengekalkan kelestarian sumber asli dan memelihara alam sekitar serta mengukuhkan kesentosaan sosial dan warisan bangsa.
Khairul Azwan berkata, pertanian menjadi agenda utama kerana Pasir Salak merupakan jelapang padi negeri yang berpotensi menjadi lembah agro sekuriti makanan.
"Kita juga berhasrat menyediakan akses kepada teknologi pertanian, penternakan dan perikanan baharu di bawah Revolusi Indusri Keempat.
"Seterusnya melahirkan usahawan agrotani moden dalam kalangan anak tempatan dengan mewujudkan Institut Pengajian Tinggi Teknikal (TVET) berteraskan pertanian," katanya.
Menurutnya, dokumen itu menjadi panduan yang akan diguna pakai mereka dalam gerak kerja ketika berkhidmat kelak.
"Ini komitmen yang rakyat tunggu-tunggu buat sekian lama. Bila bercakap soal tawaran, ia mesti didokumenkan dan bukan sekadar retorik, janji-janji yang ditabur kemudian buat-buat lupa.
"Ini azam dan tekad kami, bermakna cita-cita yang kami hendak laksanakan. Kami bukan bekerja dalam silo tetapi ia satu bentuk komitmen," katanya selepas melancarkan manifesto di BN Command Centre di sini pada malam Rabu.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, aspirasi itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya ketiga-tiga mereka diberikan mandat selain kerajaan negeri serta pusat ditadbir oleh BN.
"BN mestilah jadi kerajaan di negeri dan pusat. Jika menang di tiga2 kerusi ini tapi kita bukan kerajaan di negeri dan pusat, sudah tentu tidak mampu kami laksanakan.
"Sekiranya menang, baru kami dapat garapkan sumber dan usaha untuk jayakan Azam dan Tekad ni. Keutamaan lepas kami menang adalah naik taraf kawasan ni kepada status daerah penuh," katanya.
Tambah Khairul Azwan, pihaknya akan menyediakan kad laporan prestasi setiap tahun bagi memastikan aspirasi itu dapat dilaksanakan.
"Sekiranya kerja-kerja pembangunan berhadapan dengan beberapa isu seperti perundangan atau teknikal, kita akan ceritakan kepada pengundi.
"Berdasarkan dokumen ini, apabila sudah sampai tempoh lima tahun maka rakyat boleh melihat sejauh mana komitmen kita sebagai wakil rakyat dalam menjalankan tugas," katanya.
Jelas beliau, seramai 50 sukarelawan BN Pasir Salak akan bergerak sekitar kawasan Parlimen berkenaan dalam tempoh dua hari untuk membawa mesej Aspirasi Pasir Salak berkenaan.