SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Jalan Mantin- Seremban di Kilometer 332.50 sepanjang 100 meter ditutup sementara selepas berlakunya kejadian pokok tumbang dan runtuhan cerun akibat hujan lebat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Mantin diarahkan ke lokasi sebaik menerima laporan kecemasan pada jam 1.06 pagi Khamis.
"Komander operasi melaporkan berlaku tanah runtuh di lereng bukit dekat jalan berkenaan yang mana ia menyebabkan tanah, batu dan pokok menggelongsor ke arah jalan.
"Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan ia hanya melibatkan laluan utama terputus hubungan disebabkan tanah dan batu runtuh. Pihak bomba menasihatkan penduduk setempat untuk berjaga-jaga," katanya.
Dalam pada itu, di Rembau, atap Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdullah, Kota rosak teruk dalam kejadian ribut pada jam 3.30 petang Rabu.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, kejadian angin ribut menyebabkan kerosakan pada bumbung dewan makan asrama pelajar perempuan dan bangunan akademik bersebelahan perpustakaan.
"Kerosakan ini menyebabkan pelajar Asrama Puteri terpaksa dipindahkan ke bangunan lain buat sementara waktu sebelum diputuskan pelajar boleh bercuti sehingga Ahad ini.
"Usaha ini adalah untuk membolehkan kerja pembersihan dan pembaikan sementara dapat dilaksanakan dalam usaha kita untuk membolehkan bangunan asrama puteri ini beroperasi semula bermula Isnin minggu hadapan.
"Saya sudah melawat sekolah ini jam jam 9.15 malam, untuk menilai permasalahan dan melihat kaedah terbaik untuk membolehkan sekolah ini boleh beroperasi semula dengan kadar yang segera," katanya.