SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi empat iltizamnya untuk Malaysia sekiranya terus dipilih oleh rakyat untuk menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Empat keazaman itu adalah menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia; menyuburkan kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara; memelihara kesucian agama Islam tanpa meminggirkan agama lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta memperkasa integriti tadbir urus negara.
"Inilah iltizam saya untuk Malaysia, demi kestabilan dan kemakmuran masa depan tanah air kita.
"Saya, Ismail Sabri Yaakob dengan rendah diri, memohon kepada semua pengundi untuk memberi kepercayaan kepada saya dan BN, menerajui negara bagi penggal akan datang.
"Semoga ALLAH SWT terus merahmati serta memelihara negara dan Keluarga Malaysia. Ya ALLAH, sesungguhnya kepadaMu kami berserah. Undilah BN. Terima kasih Keluarga Malaysia!” katanya dalam video Amanat PRU pada Khamis.
Ismail Sabri berkata, sejak mula memegang jawatan pada 21 Ogos tahun lalu, tugasan menggalas tanggungjawab menerajui negara bukanlah satu perkara yang mudah.
Menurut beliau, ini kerana sebagai Perdana Menteri ketiga dipilih dalam satu penggal yang sama, peralihan tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun merupakan episod gelap kepada negara.
"Waktu itu, kita berhadapan ancaman pandemik Covid-19, jumlah pesakit harian mencecah puluhan ribu, mengorbankan ratusan rakyat sehari dan menyebabkan fasiliti perubatan hampir lumpuh.
"Tidak cukup dengan itu, negara berhadapan krisis ekonomi. Jumlah pengangguran meningkat lebih 700,000 orang, banyak sektor perniagaan terpaksa gulung tikar dan rakyat hilang mata pencarian,” ujar beliau.
Disebabkan itu, Ismail Sabri menjelaskan bahawa dengan tekad teguh untuk bersama memulihkan negara sebagai seperti sebuah keluarga, pentadbiran di bawah terajunya melancarkan Inisiatif Keluarga Malaysia.
Jelasnya, melalui langkah tersebut, kerajaan berjaya mencapai secara bersama pelaksanaan 15 inisiatif sepanjang tempoh 15 bulan tempoh pentabiran beliau.
"Hari ini, keadaan bertambah baik dan kita mampu bergerak maju ke hadapan, namun masih banyak yang perlu kita laksanakan untuk menjadi sebuah negara bangsa yang teguh bersama dan kembali dihormati di persada dunia.
"Pada 19 November ini, Keluarga Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan negara ini terus ditadbir dengan baik,” katanya.