SHAH ALAM - Agenda memperkasa pembangunan luar bandar terus menjadi keutamaan kerajaan dalam merapatkan jurang ekonomi dan prasarana seiring kawasan bandar.
Ia boleh dilihat melalui pelbagai inisiatif dan peruntukan setiap tahun, dalam memastikan penduduk di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dan turut menikmati kemudahan yang sama.
Ini terbukti apabila Kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan peruntukan RM2.55 bilion bagi menambah baik kemudahan infrastruktur luar bandar dalam Bajet 2023.
Peruntukan bina baharu dan baik pulih rumah pula akan ditingkatkan daripada RM361 juta kepada RM460 juta.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, secara keseluruhannya pembangunan kawasan luar bandar bertambah baik dari tahun ke tahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
"Untuk Semenanjung, secara puratanya pembangunan lebih baik dari Malaysia Timur, namun masih ada kawasan-kawasan yang terpencil dan di pendalaman Kedah, Perak, Kelantan serta Johor yang masih belum dibangunkan sepenuhnya termasuk bekalan air bersih, elektrik dan perhubungan jalan raya yang ditar. Ini termasuk Sabah dan Sarawak.
"Kerajaan sedar akan perkara ini, sebab itu saya melihat peruntukan yang besar bagi projek bekalan elektrik luar bandar sebanyak RM472 juta, projek bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif RM381 juta serta RM123 juta bagi projek lampu jalan kampung melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan diberikan untuk Bajet 2023,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah capaian Internet
Pandemik Covid-19 yang melanda juga memberi pengajaran betapa pentingnya pembaikan infrastruktur perhubungan jalan raya dan Internet diseragamkan untuk membangunkan ekonomi dan membantu rakyat.
Aimi Zulhazmi menambah, jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar terutama daripada segi jangkauan dan kelajuan Internet boleh diperbaiki, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Katanya, ia juga penting untuk sampai kepada ‘unbankable segment of the society’ yang mahu dicapai oleh bank-bank digital yang baru diberikan lesen oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
"Dalam era ekonomi digital, hubungan Internet perlu diseimbangkan dengan sistem perhubungan bagi membantu pembangunan e-dagang supaya barang-barang dan perkhidmatan dari luar bandar dapat dipasarkan pada kos yang rendah,” jelasnya.
Nelayan tidak dipinggirkan
Bagi golongan nelayan, bantuan bulanan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 sebulan dan ESHN Darat berjumlah RM250 sebulan meringankan beban mereka
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mat Yassim Mohamed menyifatkan bantuan itu cukup bermakna dalam kelangsungan hidup golongan nelayan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) itu berkata, tempoh pandemik dan musim tengkujuh agak mencabar, namun bantuan itu membolehkan nelayan dan keluarga mereka menggunakannya untuk membeli barangan keperluan asas.
"Kerajaan juga membantu kami dengan pemotongan sejumlah kecil daripada elaun itu untuk caruman Perkeso.
"Jika ada antara kami yang dilanda musibah atau hilang upaya dan mengalami kemalangan di laut mahupun darat, kami terus dilindungi.
"Ia secara tidak langsung memberi jaminan kepada hampir 100,000 nelayan di seluruh negara,” jelas Mat Yassim.
Dalam pembentangan Bajet 2023 yang lalu, kerajaan turut mengumumkan beberapa inisiatif kepada golongan rentan di luar bandar.
Golongan ini diumumkan peruntukan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk 450,000 isi rumah dan subsidi bil elektrik RM40 diperluaskan kepada kumpulan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM734 juta bagi perlindungan sosial yang meliputi perlindungan insurans atau takaful bagi B40 dan penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
Segala jenis insentif dan bantuan yang diberikan itu sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan menitikberatkan kelestarian bantuan kewangan kepada golongan sasar terlibat.
Usahawan dibantu
Pada masa sama, golongan usahawan luar bandar turut diberi perhatian untuk membolehkan mereka menstruktur semula perniagaan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
Antara yang diumumkan adalah inisiatif Semarak Niaga berjumlah RM45 bilion dalam bentuk geran, pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan.
Malah, Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia berjumlah RM350 juta juga mampu untuk melonjakkan perniagaan mikro tempatan.
Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, bantuan yang ditawarkan kerajaan dapat meningkatkan modal pusingan serta pendapatan boleh guna.
"Ketika negara dilanda wabak Covid-19 ramai peniaga berhadapan dengan cabaran, malah ada yang terpaksa menutup kedai.
"Pengumuman yang dibuat melalui Bajet 2023 itu jelas memberi khabar gembira buat semua peniaga sama ada di bandar mahupun luar bandar," ujarnya.
Menurut Rosli, pengecualian cukai duti setem untuk penstrukturan semula pembiayaan dan pinjaman juga digunakan untuk modal pusingan perniagaan.
"Inisiatif ini memberi kelebihan kepada peniaga yang ingin membuat pinjaman tanpa dikenakan sebarang cukai.
"Saya percaya semua peniaga sangat hargai usaha kerajaan itu namun perlu memudahkan cara permohonannya. Prosedurnya ketat, mereka perlu sediakan transaksi perniagaan selama enam bulan," jelasnya.
Tambahnya, Bajet 2023 turut responsif dalam menyokong aktiviti perniagaan setelah menawarkan geran one-off sebanyak RM1,000 kepada 1,000 orang peniaga dan penjaja.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan memperbanyakkan bantuan dari segi geran dan kupon berbanding memberi pinjaman kepada mereka.
"Wang yang dipinjamkan itu akan membebankan peniaga. Bagaimana mereka mahu bayar balik wang tersebut jika kurang mendapat keuntungan.
"Pasaran perniagaan di luar bandar sangat terhad dan berbeza dengan mereka yang berniaga di bandar," ujarnya.
Beliau berkata, insentif yang diberikan dalam bentuk geran dan kupon itu mampu mengekalkan momentum perniagaan apatah lagi dalam suasana ekonomi yang dijangka tidak menentu tahun depan.
Beliau turut berpendapat, moratorium yang diumumkan sebelum ini perlu dilanjutkan walaupun selepas kes Covid-19 menurun kerana ia akan membantu menggerakkan perniagaan mereka.