KUALA LUMPUR - Sebanyak 15 stesen kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras air melebihi tahap bahaya membabitkan Sarawak, Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Ia berdasarkan data yang dikongsi JPS melalui publicinfobanjir.water.gov.my setakat 10.45 pagi ini.
Selangor merekodkan stesen terbanyak melibatkan Sungai Semenyih di Pekan Bangi Lama, Hulu Langat; Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang; Sungai Klang di Taman Sri Muda, Klang dan Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang.
Selain itu Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat; Sungai Labu di Kampung Salak Tinggi, Sepang; Sungai Langat di Dengkil, Sepang serta Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang.
Di Sarawak pula melibatkan stesen di Long Jegan, Long Teru dan Marudi, Miri; Pahang (Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera); Johor (Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat), Negeri Sembilan (Sungai Linggi di Pekan Linggi, Port Dickson) dan Melaka (Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah).
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, JPS meminta orang ramai sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan cuaca semasa.
Amaran dan ramalan banjir terkini serta maklumat berkenaan kenaikan aras sungai serta kadar lebat hujan boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi ataupun akaun twitter Public Infobanjir. - Bernama