PRU15: Zainal sedia guna pengalaman bangunkan Kuala Sepetang

Iklan
Zainal Azman dalam sidang akhbar pada Rabu.

BUKIT GANTANG - Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang, Datuk Zainal Azman Abu Seman sedia menggunakan pengalaman 30 tahun sebagai penjawat awam untuk membantu rakyat sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umun ke-15 (PRU15).

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu berkata, pengalaman berkhidmat dalam pelbagai jabatan dan agensi penting akan memudahkan urusannya melaksanakan pelbagai perancangan terutama berkaitan pembangunan ekonomi.

Iklan
Iklan

Hubungan baik yang terjalin sebagai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) juga secara tidak langsung membantunya memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan dengan segera.

"Sepanjang tempoh kempen ini, banyak isu-isu yang dibangkitkan pengundi di sini terutamanya berkaitan banjir.

Iklan

"Di kawasan ini, RTB belum diberi perhatian sewajarnya, jadi jika PH diberikan mandat, kita akan bawa pelaksaan projek ini untuk dipertimbangkan supaya dapat mengurangkan risiko banjir," katanya dalam sidang akhbar di Jeti Kuala Sepetang pada Rabu.

Zainal Azman meninjau keadaan Jeti Kuala Sepetang sempena kempen PRU15.

Selain itu, beliau berkata, masalah pemilikan tanah dalam kalangan nelayan juga membelenggu penduduk sejak sekian lama menyebabkan penempatan di satu-satu kawasan menjadi padat.

Iklan

Dalam hal itu, pihaknya telahpun mendapatkan beberapa cadangan daripada kalangan pakar untuk melakukan semakan semula bagi memastikan penempatan di perkampungan nelayan dapat disusun dengan lebih teratur.

"Jika penduduk di sini beri sokongan penuh kepada PH, maka faedah diperolehi bukan sahaja jangka pendek, tetapi kita akan buat perancangan penyelesaian jangka panjang," ujarnya.

Zainal Azman yang pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut mempunyai perancangan untuk memperkasakan projek industri kecil berasaskan hasil laut.

Ujar beliau, antara produk yang dikeluarkan oleh penduduk di situ adalah belacan, ikan bilis, ikan kering, ikan masin dan sotong kering dan produk baru seperti keropok kering, ikan, sotong, ketam dan kerepok Lekor boleh diwujudkan sebagai industri baru.

"Wujudnya industri-industri kecil ini akan membantu menjana pendapatan penduduk.

"Kita juga berharap produk yang dihasilkan dapat menembusi pasaran ke seluruh Malaysia dan bukan sahaja tertumpu kepada penduduk kampungnya sahaja," katanya.

Ditanya mengenai pemilihannya sebagai calon Menteri Besar Perak, Zainal Azman berkata, dirinya bersedia untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

"Jika dipilih antara calon-calon yang dikemukakan kompenan parti nanti, saya yakin berupaya beri hala tuju dan menjaga kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi untuk pastikan Perak kembali gemilang," katanya.

DUN Kuala Sepetang pernah dimenangi calon PH daripada Parti Keadikan Rakyat (PKR) pada PRU tahun 2008 dan 2013, namun pada PRU14, calon parti itu tewas kepada BN dengan hanya majoriti 329 undi.

Pada PRU15 ini, kerusi DUN Kuala Sepetang menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan tiga lagi calon iaitu penyandang kerusi berkenaan, Mohd Kamaruddin Abu Bakar daripada BN, Ahmad Man (Perikatan Nasional) dan Norhaliza'awayati Meman (Pejuang).