SHAH ALAM - Istilah ‘edufluencers’ mungkin tidak biasa didengari berbanding ‘influencer’ yang lebih popular kerana ia membabitkan individu memaparkan pengisian menarik kepada pengikut mereka.
Edufluencers atau pempengaruh pendidikan memainkan peranan lebih kurang sama tetapi lebih penting dalam konteks pendidikan negara ke arah yang lebih moden berasaskan teknologi seperti media sosial.
Mereka juga berperanan untuk berkongsi pendekatan mendidik dengan idea yang lebih segar kepada guru-guru untuk memupuk pelajar minat belajar melalui corak pembelajaran berbeza.
Program yang diperkenalkan oleh Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini menggabungkan ramai guru suri teladan atau pempengaruh pendidikan dari setiap negeri.
Salah seorang edufluencers yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai 1 Petaling Jaya, Vinothan Ramayah berkata, pendekatan secara interaktif berjaya menarik pelajar untuk lebih berminat dalam pelajaran.
"Langkah pertama, kami perlu menarik perhatian murid untuk belajar. Sebagai edufluencers, kami selalu mengamalkan pendekatan baharu melalui kaedah pengajaran yang sesuai dan menarik.
"Sebagai contoh, semasa saya mengajar Bahasa Inggeris, saya dapati pendekatan tradisional seperti chalk and talk membuatkan pelajar bosan.
"Mereka perlukan pembaharuan, jadi edufluencers banyak guna kaedah teknologi seperti penggunaan media sosial dan aplikasi menarik.
"Saya suka gunakan ‘games learning’ selain aktiviti berkumpulan dan ini menyebabkan pelajar tertarik serta mahu libatkan diri. Ia menyebabkan proses pembelajaran Bahasa Inggeris itu lebih mudah untuk diterima mereka,” katanya.
Proses pembelajaran
Menurutnya, selain mengaplikasikan pendekatan baharu, beliau juga memberi hadiah kepada pelajar sebagai menghargai usaha mereka untuk belajar.
Jelasnya, cara ini akan menyebabkan pelajar gembira dan tertarik untuk terus mengikuti mata pelajaran Bahasa Inggeris yang diajarnya.
Beliau yang terpilih sebagai edufluencers pada 2019 turut berterima kasih kepada PADU selain melihat banyak lagi pembaharuan yang boleh dilakukan dalam proses pembelajaran di sekolah.
"Saya terpilih dalam ‘batch’ pertama dan kini PADU sentiasa aktif mencari cikgu yang mempunyai bakat dan idea menarik untuk diketengahkan.
"Saya tahu ramai cikgu berbakat di luar sana tetapi mereka tak tunjukkan. Jadi, PADU main peranan membuka peluang untuk cikgu ambil bahagian dan membantu menambah baik sistem pendidikan negara,” katanya yang mempunyai pengalaman mengajar selama 14 tahun.
Sementara itu, guru Sains Sekolah Kebangsaan Dato Laksamana Raja Mahkota, Anneta Zaity Zainal berkata, pengaruhnya di media sosial seperti di aplikasi TikTok digunakan sebaik mungkin untuk menarik minat pelajar minat.
Beliau yang terpilih dalam program Edufluencers 2.0 menyifatkan program itu mampu menaikkan motivasi guru muda lebih bersemangat ketika sesi pembelajaran.
"Menjadi edufluencers ini satu batu loncatan untuk saya jadikan ia platform contoh terbaik buat murid.
"Ada ramai juga murid yang memang meminati saya sebagai TikTokers. Jadi, saya gunakan sebagai ‘role model’ untuk murid suka belajar atau hadir ke sekolah,” katanya.
Pendekatan santai
Bagi Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya, Kota Kinabalu, Dr Hafifi Hafidz Horace, pendekatan santai menjadi keutamaannya agar peranan edufluencers ini dapat digunakan dan menjadi satu pengaruh yang mudah didekati oleh murid mahupun rakan sekerja.
"Untuk masa sekarang, saya mulakan dengan memberi kesedaran dan perkongsian melalui Facebook dan program bersemuka Cilik WOW secara dalam talian.
"Saya cuba untuk konsisten memberi beberapa tip komunikasi dan juga motivasi untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan sarjana kedoktoran terutama sekali kepada bakal-bakal guru di IPG Gaya.
"Saya juga ada berkongsi dengan rakan-rakan guru supaya mereka tidak merasakan melanjutkan pengajian satu beban. Saya memberi nilai tambah yang besar kepada diri seorang guru,” katanya.
Beliau beriltizam memastikan kemahiran komunikasi seawal usia kanak-kanak dititikberatkan dalam perkembangan kanak-kanak.
"Saya ingin mengajak anak-anak muda dan guru muda melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat PhD. Ini antara pengisian yang saya masukkan semasa menghantar video resume untuk pemilihan Edufluencers 2.0.
"Saya mahu terapkan kepada orang lain bahawa kerjaya guru sememangnya penuh dengan cabaran. Kita perlu komited untuk membantu anak-anak bangsa dalam mendepani revolusi industri 4.0,” ujarnya.
Hafifi Hafidz turut menyifatkan PADU dan KPM telah melaksanakan satu inisiatif yang cukup baik dalam mengangkat guru sebagai pempengaruh dalam aspek pendidikan.
"Pastinya usaha ini akan dapat memartabatkan lagi kerjaya guru sebagai profesion yang profesional dan disanjung. Guru insan yang paling dekat dan bermakna dalam kehidupan sesiapa sahaja.
"Namun, kadangkala guru menjadi pahlawan yang tidak didendangkan. Maka melalui inisiatif ini, usaha guru akan dapat dihargai dan boleh menjadi medan perkongsian inovasi kepada guru lain untuk dimanfaatkan bersama,” tambahnya.