PETALING JAYA - Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group, Tan Sri Lim Hock San telah menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung Kepimpinan oleh Universiti Antarabangsa UNITAR di atas kepimpinan cemerlang beliau dalam menerajui LBS Bina Group Berhad serta menaikkan nama syarikat tersebut sebagai jenama perumahan dalam industri pembangunan hartanah.
Anugerah Profesor Adjung Kepimpinan kepada Hock San turut mengiktiraf sumbangan beliau dalam aspek kemasyarakatan, pendidikan, dewan perdagangan, serta penglibatan aktif beliau di dalam persatuan-persatuan.
Pada majlis anugerah tersebut, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Antarabangsa UNITAR, Prof. Dr Rozainun Abdul Aziz turut berkongsi pencapaian serta kepimpinan Hock San menerusi LBS Bina Group Berhad sehingga beliau menjadi salah seorang daripada Pengerusi Lembaga di sekolah-sekolah tempatan, dewan perdagangan, persatuan–persatuan dan anugerah utama yang telah dimenangi oleh beliau.
Menurut Hock San, mendiangnya, Datuk Seri Lim Bock Seng yang juga pengasas LBS Bina Group Berhad banyak memberi galakan kepada beliau dan adik-beradik yang lain untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti.
"Beliau (mendiang Bock Seng) turut menekankan kepentingan memperolehi ilmu pendidikan yang baik.
"Beliau merupakan inspirasi kepada saya, penekanan serta disiplinnya telah membentuk jati diri saya dalam pelbagai aspek terutamanya pendidikan dan pengurusan yang menjadi asas kepada kemampuan saya untuk memimpin LBS Bina Group Berhad sehingga hari ini,” jelasnya.
Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri IR. Dr. Sahol Hamid Bin Abu Bakar, turut mengiktiraf pelbagai anugerah dan kejayaan Tan Hock San.
"Pelantikan Tan Sri Lim Hock San sebagai Profesor Adjung Kepimpinan merupakan suatu penghormatan kepada kami dan bakal bermanfaat kepada pelajar kami.
"Kepimpinan Tan Sri Lim telah terbukti konsisten dan beliau layak untuk menjadi Profesor Adjung Kepimpinan kami,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis tersebut.
Hock San dijangka menyampaikan Bicara Kepimpinan kepada pelajar Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan di UNITAR pada suku pertama 2023.