Mangsa, Koh Sheng Yur, 19, berjaya diselamatkan hasil bantuan pelbagai pihak hasil inisiatif Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang juga calon kerusi Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Johnny Ch’ng.
Sheng Yur yang berasal dari Pekan, Pahang berkata, detik hitam itu bermula pada April lalu namun nasibnya baik apabila berjaya diselamatkan daripada sindiket tersebut dan dibawa pulang ke Malaysia pada Selasa lalu.
Katanya, segalanya bermula ketika dia melayari Facebook lalu tertarik dengan iklan tawaran kerja dalam bidang telekomunikasi pada April lalu.
"Iklan kerja itu menawarkan gaji lumayan antara RM5,000 hingga RM6,000 menyebabkan saya tertarik lalu terus menghubungi ejen terbabit. Ejen itu kemudiannya meminta saya ke Kelantan untuk urusan kerja berkenaan.
"Apabila tiba di Kelantan, saya bertemu dengan seorang lelaki warga tempatan dan dia membawa saya masuk ke Thailand. Saya kemudiannya dibawa ke sempadan Myanmar menggunakan laluan tikus menyeberangi Sungai Golok," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini pada Khamis.
"Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 40 tahun yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu dan Cina. Ketika itu, saya belum mengesyaki apa-apa sehingga saya mula dipaksa untuk bekerja sebagai `scammer’.
"Saya dipaksa untuk cuba menipu rakyat Amerika Syarikat (AS) menerusi panggilan telefon. Selama saya dipaksa bekerja, saya tidak dibayar gaji dan hanya diberikan makan sekali sehari," katanya.
Kata remaja itu lagi, dia pernah didenda berlari keliling padang dan membawa tong air menaiki tangga setinggi lima tingkat kerana gagal mendapatkan mangsa untuk ditipu.
"Saya sangat tertekan dengan keadaan dan persekitaran saya ketika berada di dalam 'tahanan' sindiket tersebut. Saya akan ditampar setiap kali tertidur ketika waktu bekerja. Tiada apa yang mampu saya buat melainkan menangis setiap masa.
"Saya ingin pulang ke Malaysia tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk melepaskan diri daripada sindiket tersebut. Saya pernah merayu untuk dilepaskan, namun ahli sindiket minta wang pampasan sebanyak RM50,000," katanya.
Dia menambah, keadaan mula berubah setelah dia dibantu seorang rakyat Malaysia yang membawanya keluar dari kawasan tersebut kira-kira sebulan lalu.
"Saya bersyukur kerana ada orang yang membantu saya dan dengan bantuan pihak berkuasa serta kedutaan, saya akhirnya berjaya pulang ke tanah air dan tiba di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
"Ini merupakan pengalaman yang sangat perit buat saya dan saya merayu orang ramai di luar sana tidak mudah mempercayai tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di media sosial.
"Kesemua mangsa orang Malaysia di sana semuanya menderita dan mahu pulang ke tanah air, namun mereka tidak bernasib baik seperti saya,” katanya.
Dalam pada itu, ibu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Madam Loke, 57, berkata, dia sanggup datang ke Pulau Pinang dari Pahang semata-mata untuk berterima kasih kepada Johnny kerana menyelamatkan anak kesayangannya itu.
"Terima kasih kepada Datuk (Johnny) kerana sanggup bersusah-payah membantu saya untuk menyelamatkan anak saya ini. Saya dan keluarga hilang punca dan buntu untuk menyelamatkan anaknya itu.
"Namun selepas diperkenalkan kepada Datuk menerusi seorang rakan, akhirnya anak saya berjaya diselamatkan dan dibawa pulang dengan selamat," katanya.
Dalam pada itu, Johnny berkata, beliau akan terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyelamatkan lebih ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan antarabangsa.
"Saya berharap rakyat Malaysia tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja gaji lumayan di luar negara kerana di negara ini pun masih ada pekerjaan yang boleh dilakukan.
"Usaha ini juga adalah salah satu matlamat saya di Balik Pulau iaitu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan agar golongan muda tidak perlu berhijrah mencari kerja di tempat lain,” katanya.